KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur menumpaskan aktiviti penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) menerusi serbuan di sebuah stor penyimpanan gas berlesen di Setapak, pada Jumaat lepas.
Serbuan itu dijalankan selepas risikan selama empat hari ke atas premis berkenaan yang disyaki menjual gas LPG bersubsidi kepada pihak industri melibatkan ketirisan subsidi berjumlah RM1 juta.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, dalam serbuan tersebut pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang merupakan pemilik premis berkenaan.
Beliau berkata, pemilik premis berkenaan merupakan pemegang lesen runcit LPG yang sah bagaimanapun semakan dokumen pembekalan LPG yang dirampas mendapati beliau gagal merekodkan pembelian melibatkan 345 transaksi berjumlah RM1.7 Juta untuk tahun 2023.
“Jumlah ketirisan subsidi bagi kes ini dianggarkan RM1 juta,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran Jualan Rahmah Kasih Sayang peringkat Parlimen Batu di Sentul hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 bersama dengan Peraturan 13(2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
“KPDN Kuala Lumpur memberi amaran keras kepada mana-mana pihak supaya tidak melanggar undang-undang sedia ada serta tidak mengambil kesempatan terhadap subsidi yang diberikan,” katanya. – BERNAMA