KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan bertanding di kesemua 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada jumlah itu, Bersatu bakal bertanding di 83 DUN, PAS di 126 DUN manakala 36 DUN lagi ditandingi oleh Parti Gerakan (Gerakan).
“Jumlah kerusi baharu bukan penyandang yang bakal ditandingi oleh anggota parti PN pula merangkumi Bersatu sejumlah 64 kerusi, PAS sejumlah 50 kerusi dan Gerakan sebanyak 36 kerusi,” katanya selepas mempengerusikan Majlis Presiden PN di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
PRN akan datang membabitkan 36 DUN di Kedah, Kelantan (45) dan Terengganu (32) yang berada di bawah pentadbiran PN manakala Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36) iaitu negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH).