KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu berkuat kuasa 23 Jun ini, menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang tamat perkhidmatannya esok.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP), telah memperkenan pelantikan Razarudin secara kontrak selepas persaraannya, selama dua tahun sehingga 22 Jun 2025.
“Sepanjang perkhidmatan Razarudin dalam pasukan polis, beliau berpengalaman menjawat pelbagai jawatan di peringkat Negeri dan Kontinjen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor, Razarudin, 61, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, memulakan karier pada tahun 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah sebagai Pegawai Penyiasat.
Antara jawatan lain yang pernah disandang beliau ialah Penolong Pengarah D9, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman; Timbalan Komander Special Task Force On Organise Crime (STFOC), Skuad Taktikal Khas 1 (Jenayah) Bukit Aman; Ketua JSJ Pulau Pinang, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah.