KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memutuskan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) FINAS, Rozita Waty Ridzuan menanggung kerja jawatan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS berkuat kuasa 1 Jun sehingga jawatan tersebut diisi secara hakiki.
FINAS melalui kenyataan hari ini memaklumkan keputusan tersebut merupakan langkah penstrukturan semula yang akan melibatkan penjajaran semula atau recalibration terhadap dasar, program dan aktiviti industri kreatif, terutamanya industri perfileman.
“Inisiatif ini diharap dapat membantu penggiat filem Malaysia menghasilkan filem-filem berkualiti yang mempunyai nilai pasaran tempatan dan antarabangsa yang tinggi,” katanya.
Pada masa sama, FINAS merakamkan penghargaan kepada Prof Dr Md Nasir Ibrahim atas segala sumbangan dan jasa bakti sepanjang perkhidmatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FINAS bermula 1 November 2021 sehingga 31 Mei.
“FINAS mengucapkan selamat maju jaya kepada Md Nasir dan semoga beliau dapat meneruskan kecemerlangan dalam apa jua bidang dan organisasi yang bakal diceburi kelak,” menurut kenyataan.
Sementara itu, Md Nasir pada sidang media berkata, beliau menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan akan berehat buat sementara waktu.
“Saya reda dengan keputusan ini dan saya akan berehat sementara waktu untuk menghilangkan penat bekerja. Semoga FINAS akan lebih maju jaya dengan kepimpinan baharu nanti,” katanya.
Berkongsi sepanjang perkhidmatannya di FINAS, Md Nasir berkata, beliau telah berjaya menarik minat beberapa penerbit luar untuk menjalani penggambaran di Malaysia melalui Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) dengan nilai kira-kira RM1.04 bilion.
“Perkara tersebut merupakan satu pencapaian yang tidak pernah dicapai sebelum ini. Melalui FIMI ini juga produser di luar negara dapat bekerjasama dengan tenaga tempatan dan bakat-bakat tempatan dalam negara,” katanya.
Selain itu, beliau berkata lawatan kerjanya ke Beijing, China baru-baru ini juga berjaya membawa pelaburan sebanyak RM221 juta bagi industri filem Malaysia. – BERNAMA