MOSCOW: Pasaran Rusia tidak terjejas selepas sekatan dan pengunduran syarikat-syarikat asing, malah member kesan sebaliknya, kata Presiden Vladimir Putin pada Khamis.
“Seperti yang telah saya katakan, kerana sekatan, kerana keluarnya syarikat-syarikat Barat, dunia tidak runtuh, malah sebaliknya. Lebih-lebih lagi, peluang bagi usahawan Rusia telah berkembang berlipat ganda,” Putin berucap di forum ekonomi.
Putin berkata, Rusia memerlukan dasar yang disasarkan untuk mempromosikan jenama domestik, lapor Sputnik.
Awal bulan ini, Majlis Kesatuan Eropah mengumumkan bahawa ia menerima pakai pakej sekatan ke-11 terhadap Rusia yang bertujuan mengukuhkan sekatan sedia ada dan menghalang pemintasan.
Pada 2022, negara-negara Barat mengenakan sekatan ke atas Rusia sebagai tindak balas terhadap operasi ketenteraannya di Ukraine.
Pada Februari 2023, Kesatuan Eropah menyekat transit barangan Eropah dan teknologi dwi-guna melalui Rusia dalam pakej sekatan ke-10 .
Pada Mei, EU memaklumkan bahawa eksportnya ke Rusia merudum sebanyak 55 peratus berbanding 2021, dan import Rusia ke blok itu menyusut hampir 60 peratus akibat sekatan. – BERNAMA-SPUTNIK