BAHAGIAN pasaran perkhidmatan pemesejan Telegram berkembang dengan sangat ketara di pasaran Rusia, meningkat tiga kali ganda sejak awal 2022, menurut data rasmi.
Maksut Shadaev, ketua Kementerian Pembangunan Digital, Komunikasi dan Media Massa Rusia berkata pada Selasa, pada awal tahun 2022, bahagian pasaran Telegram dalam struktur trafik mudah alih menyumbang 2.5%. Kini bahagian pasaran Telegram ialah 8.5%.
Telegram telah mengatasi WhatsApp dan Facebook Messenger untuk menjadi aplikasi pemesejan segera paling popular di Rusia, Belarus, Ukraine, Armenia, Azerbaijan, Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Moldova.
Ia juga menjadi salah satu daripada lima aplikasi teratas dimuat turun di seluruh dunia tahun lepas. Pakar pasaran mengaitkan trend itu dengan perubahan dasar privasi WhatsApp milik Meta kepunyaan Mark Zuckerberg yang mendorong berjuta-juta pengguna beralih daripada Messenger dan mencari aplikasi yang lebih tertumpu pada privasi.
Telegram muncul sebagai salah satu penerima manfaat terbesar perubahan itu kerana ia memperoleh pengikut yang ramai pada tahun 2022 dengan lebih 700 juta pengguna bulanan aktif.
Pavel Durov kelahiran Rusia ialah pengasas dan pemilik Telegram. Dia telah digelar Mark Zuckerberg Rusia dan tersenarai dalam Senarai Jutawan Forbes 2022 dengan nilai bersih AS$11.5 bilion. – RT