HomeBeritaPolitikTiada unsur songsang dalam kempen ‘Kalih Bagi Sama’ - Mahdzir Khalid

Tiada unsur songsang dalam kempen ‘Kalih Bagi Sama’ – Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberi jaminan tiada unsur yang menyimpang dalam kempen ‘Kalih Bagi Sama’.

Kempen berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), dalam usaha merampas Kedah dari tangan Perikatan Nasional (PN).

Datuk Seri Mahdzir berkata, kempen itu juga tidak melanggar amalan demokrasi di negara ini.

“Di mana songsangnya kempen ‘Kalih Bagi Sama’?

“Istilah songsang tak ada apabila tiba kempen pilihan raya. Kita guna ‘Kalih Bagi Sama’ kerana ia adalah hak parti untuk berkempen.

Kita tawarkan kepada rakyat Kedah jika undi BN dan PH, makna sama undi kerajaan di Persekutuan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas UMNO Kedah di Alor Setar, lewat malam tadi.

Mahdzir berkata, kempen itu juga adalah tawaran diberikan BN dan PH kepada rakyat Kedah yang mahu melihat pentadbiran negeri dan Persekutuan selari.

“Hala tuju yang sama memungkinkan lebih banyak pembangunan dapat dibawa ke negeri Kedah, demi manfaat rakyat “ katanya.

Kempen ‘Kalih Bagi Sama’ baru-baru ini menerima kecaman Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa, ia adalah perbuatan bertentangan amalan demokrasi di negara ini.

Bagaimanapun, mengulas mengenai manifesto yang akan digunakan gabungan BN-PH sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Mahdzir berkata, tawaran itu akan merangkumi pelbagai aspek demi memastikan kesejahteraan rakyat diutamakan.

Katanya, semua tawaran tersebut akan dimuktamadkan BN serta PH dalam tempoh terdekat ini, dan diyakini mampu memberi keyakinan kepada pengundi dalam membuat pilihan.

“Antara intipati manifesto yang dibincangkan adalah tawaran kepada wanita serta golongan belia, selain aspek kesejahteraan rakyat membabitkan sektor ekonomi, pertanian, pendidikan dan sukan.

“Kita akan bawa tawaran ini untuk diputuskan BN dan PH minggu depan. Jika kedua-dua pihak terima, maka kita akan bentangkan kepada rakyat pada PRN kali ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan mengenai pembahagian kerusi antara kedua-dua pihak, beliau memaklumkan proses rundingan kini berada di peringkat akhir dan bakal dimuktamadkan pada kadar segera.

“Pembahagian kerusi sudah masuk pusingan akhir, cuma ada dua kerusi berlaku pertindihan dan kita serah pada Pusat untuk menentukan siapa yang bakal bertanding. Bagi kerusi lain, kita sudah capai persefahaman.

“Pembahagian di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menyaksikan BN dan PH ada wakil di setiap kawasan Parlimen. Ini bagi menunjukkan semangat perpaduan antara kita pada PRN ini,” katanya.

Author

Pilihan Editor