HomeBeritaTukar sampah jadi duit! 1.2 tan barang buangan berjaya diselamatkan

Tukar sampah jadi duit! 1.2 tan barang buangan berjaya diselamatkan

 

KUANTAN: Balai raya usang yang sudah berbelas tahun terbiar di Kampung Semangat hari ini telah ditransformasikan menjadi Pusat Belajar Mengaji dan Ilmu Al-Quran yang dirasmikan oleh Pengerusi National Council of Women’s Organisation (Malaysia), Datuk Seri Maznah Mazlan.

Difahamkan usaha baik pulih balai raya ini telah dimulakan sejak tahun lepas oleh 14 orang pelajar Usrah In Action (UIA), Seksyen 821 daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Selain dari membaik pulih, pelajar-pelajar tersebut turut berjaya selamatkan sebanyak 1.2 tan barang-barang terpakai daripada dibuang ke tapak pelupusan sampah.

Malah, pada Ahad lepas, pelajar-pelajar UIAM telah mengadakan Festival Jualan Amal beserta Hari Keluarga (FamFest) di Kampus Kuantan bertujuan untuk mengumpul dana bagi menampung kos-kos pembaikan balai raya.

Penasihat FamFest Dr. Norul Hernani Abd Latif meluahkan kesyukuran dapat membantu anak-anak dari keluarga B40.

“Segala penat lelah kami hilang apabila melihat senyuman anak-anak dari keluarga B40, asnaf serta anak yatim yang amat memerlukan, mendapat buku-buku, peralatan, permainan dan pakaian yang didermakan oleh komuniti kepada mereka secara percuma.

“Menerusi pelbagai usaha kebajikan Usrah in Action ini juga, para pelajar ini telah berjaya mentranformasikan balai raya di Kg. Semangat yang telah terbiar selama belasan tahun,” katanya.

Sejumlah RM8,650 telah berjaya diserahkan kepada penduduk Kg. Semangat sejak Oktober 2022 sehinggalah Jun tahun ini, di mana sebahagiannya merupakan hasil jualan amal barangan terpakai.

Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)

Author

Pilihan Editor