AKSI persahabatan antara Indonesia menentang Argentina semalam menimbulkan kesedihan terhadap para peminat Lionel Messi kerana pemain bintang itu tidak bersama skuad juara Piala Dunia ke Indonesia.
Pada aksi persahabatan tersebut, pasukan kendalian Lionel Scaloni hanya berjaya menjaringkan dua gol kerana pasukan Garuda menggunakan taktik ‘parkir bas’ yang menyukarkan pasukan Argentina untuk menembusi barisan pertahanan mereka.
Pasukan Argentina berjaya membolosi gawang Indonesia pada minit ke-38 hasil jaringan Leandro Paredes dan pada minit ke-55 oleh Giovani Lo Celso.
Lebih menarik, sebelum sepak mula di Stadium Gelora Bung Karno, tular satu video menyaksikan seorang wanita sedang melakukan ritual di dalam stadium itu.
Netizen di Indonesia berpendapat tindakan wanita berkenaan sama seperti kejadian yang pernah berlaku di Litar Mandalika iaitu sama ada ingin melawan hukum alam atau ingin memanggil pemenang Ballon d’Or sebanyak tujuh kali, Lionel Messi untuk beraksi di dalam perlawanan tersebut.