HomeBeritaPolitikAkibat enggan bubar UMNO, Zahid Hamidi disabit 87 pertuduhan, parti nak diharamkan'

Akibat enggan bubar UMNO, Zahid Hamidi disabit 87 pertuduhan, parti nak diharamkan’

GOMBAK: Datuk Megat Zulkarnain Omardin mencabar Tan Sri Noh Omar untuk membuktikan kesahihan bahawa UMNO tidak pernah diarah untuk diharamkan.

Pengerusi UMNO Selangor itu berkata, Noh Omar sebelum ini menyebut bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mengarahkan untuk mengharamkan UMNO, sebaliknya hanya mahu parti terbesar orang Melayu itu dibubarkan.

Dedah Megat, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika itu turut dipanggil Dr Mahathir untuk membubarkan parti itu.

“Oleh sebab Zahid tidak mahu membubarkan UMNO, maka beliau disabitkan dengan 87 pertuduhan.

“Bukan itu sahaja, malah arahan untuk mengharamkan UMNO juga keluar.

“Apa yang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebut (arahan haramkan UMNO) adalah kenyataan. Anwar pernah sebut kalau beliau jadi ahli UMNO, beliau akan hormat Zahid yang menyelamatkan UMNO,” katanya berucap ketika Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Kerajaan Perpaduan DUN Hulu Kelang di sini pada Rabu.

Turut hadir adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu; serta beberapa kepimpinan BN dan Pakatan Harapan (PH).

Baru-baru ini, Noh dalam ucapannya mendedahkan, beliau dan beberapa pemimpin UMNO pernah mengadakan perjumpaan bersama Dr Mahathir tidak lama dahulu.

Dalam pertemuan itu, dakwanya, Dr Mahathir menegaskan bahawa, kaum Melayu perlu bersatu semula menerusi penyatuan UMNO dan Bersatu.

Katanya, Dr Mahathir seterusnya meminta kedua-dua parti dibubarkan sebelum parti baharu ditubuhkan.

“Beliau bukan suruh haramkan UMNO, beliau cadang UMNO dibubarkan.

“Saya cakap kalau ini jadi kenyataan sudah tentu Dr Mahathir jadi Presiden Penaja,” katanya.

Author

Pilihan Editor