HomeBeritaPolitikAltimet mahu jadikan Lembah Jaya kawasan mesra rakyat

Altimet mahu jadikan Lembah Jaya kawasan mesra rakyat

SHAH ALAM: Sehari selepas Barisan Nasional (BN), giliran Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula mengumumkan calon yang akan dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa, parti itu menawarkan seramai 59 calon, termasuk memutuskan penyanyi rap, Altimet untuk bertaruh di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya, Selangor.

Mengakui terharu dengan pencalonan tersebut, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad berkata, beliau akan cuba sedaya upaya untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Tambahnya, beliau berhasrat menjadikan DUN Lembah Jaya sebagai kawasan mesra kepada setiap lapisan masyarakat dan umur.

“Jika anda seorang kanak-kanak, anda akan mempunyai tempat untuk bermain dan belajar.

“Manakala jika anda ibu bapa kepada kanak-kanak tersebut, saya mahu pastikan anda mempunyai tempat untuk anda dan anak anda beriadah dan bersosial,” katanya selepas majlis pengumuman calon PKR PRN di Padang Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini pada Sabtu.

Selain itu, katanya, perjuangannya kali ini turut menumpukan isu setempat seperti pendidikan, prasarana dan penambahbaikan perkhidmatan, peningkatan ekonomi dan pembangunan belia.

Ketika ditanya mengenai sama ada beliau akan menggunakan statusnya sebagai selebriti untuk mempengaruhi pengundi, Altimet berkata, beliau menganggap perkara itu sebagai kebiasaan ketika berkempen.

Malah, katanya, semua calon yang bertanding pada pilihan raya akan menggunakan pengalaman atau latar belakang masing-masing untuk menarik undi rakyat.

“Misalnya seseorang calon berlatarbelakangkan sebagai peguam. Ada yang cakap peguam bagus sebab pandai bercakap dan ada yang cakap peguam hanya tahu kelentong (menipu).

“Perkara itu bergantung kepada pendapat individu sama ada nak menerimanya sebagai positif atau negatif. Saya ambil pendekatan bahawa pengalaman orang boleh dijadikan perkara positif,” katanya.

Author

Pilihan Editor