CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui masih wujud segelintir penguasa Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mengamalkan sistem dan amalan lama, dipercayai mengandungi unsur rasuah.
Katanya, kerajaan melalui pihak berkuasa berkaitan perlu bertindak segera dan tegas dalam menangani amalan tersebut supaya perkara terbabit tidak mencemarkan imej penjawat awam serta negara.
“Semalam saya sempat ke KLIA kerana ada sedikit keributan kecil. Tentunya saya lihat semua kaunter Imigresen berfungsi. Maknanya, majoroti staf Imigresen menjalankan tugas dengan baik
“Tetapi sebagaimana juga kita sedar dan sering saya tekankan, ada sekumpulan kecil yang masih biasa dengan sistem dan amalan yang lama (rasuah).
“Saya percaya hal itu adalah bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang harus bertindak.
“Selalu kita sebut, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Saya pergi untuk beri jaminan bahawa sebenarnya tidak wajar kita memberi gambaran dan persepsi secara umum bahawa ada kerosakan dalam Imigresen.
“Tetapi tidak boleh kita nafikan, (angkanya) terlalu ramai,” katanya seperti dilapor Astro Awani pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Julai di Putrajaya, hari ini.
Mengulas isu berkenaan lawatannya ke KLIA, Anwar menyatakan bahawa tujuan lawatan mengejut itu diadakan bagi mempertahankan integriti dan kewibawaan Jabatan Imigresen yang ketika ini berdepan dengan kritikan umum.
Tambahnya, beliau turut menerima maklumat semalam mengenai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang didakwa berkait unsur rasuah berhubung pengeluaran sijil warganegara, dan perkara itu masih dalam siasatan.
Walaupun jumlah dipercayai wang sogokan yang diterima disifatkan kecil, Perdana Menteri sekali lagi menegaskan, amalan sedemikian perlu dihentikan dan tidak boleh diamalkan.
“Harus ada tindakan yang keras dan tegas. Kalau tidak, ia akan merosakan seluruh imej pentadbiran, sama ada kepimpinan yang mampu berbicara tetapi tidak mampu mengamalkan.
“.. atau pun imej umum seperti mana yang saya lihat di KLIA, fungsinya baik, kaunter imigresen itu semuanya berfungsi, Kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) pun begitu, dan polis menjalankan tugas dengan baik,” ujarnya.