KUALA NERANG: Bekas Kapten Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Sabah FC, Baddrol Bakhtiar mendedahkan bahawa langkahnya menyertai bidang politik ketika ini adalah untuk mempertahankan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor selain memperjuangkan agama dan bangsa.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, penghijrahan dari bidang bola sepak ke politik itu hadir dari hatinya bersempena Maal Hijrah tahun ini.
“Pertamanya saya ingin memperjuangkan agama serta bangsa. Saya juga ingin mempertahankan individu yang orang sedang serang sekarang ini dan beliau juga tenang bertahan iaitu Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
“Itu sebab saya terhutang hati untuk perjuangkan Muhammad Sanusi dan pertahankan negeri Kedah ini di bawah beliau,” katanya ketika berucap pada Program Sembang Santai Geng Muda di Kampung Lubuk Perong, di sini malam semalam.
Program itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, Mohd. Radzi Md. Amin serta legenda bola sepak Kedah, Muhammad Radhi Mat Din yang turut pernah bertanding mewakili Pas di Parlimen Pokok Sena pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Kedua-dua bekas pemain bola sepak itu ketika ini hangat diperkatakan untuk menjadi calon Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini. – KOSMO