MUAR: Seorang pekerja pembersihan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad, atas 30 pertuduhan merogol dan amang seksual terhadap dua anak kandungnya sejak enam tahun lalu.
Tertuduh berusia 53 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara 790 tahun dan 201 sebatan, lapor Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan, tertuduh berdepan 10 pertuduhan merogol mangsa berusia 15 tahun dan lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anaknya itu.
Tertuduh turut berdepan 10 lagi pertuduhan merogol dan lima pertuduhan melakukan amang seksual dengan seorang lagi anaknya yang kini berusia 12 tahun.
Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di sebuah rumah di dua lokasi berbeza di di Bakri dan Jalan Jeram Tepi Muar antara 2018 sehingga 9 Julai tahun ini.
Bagi pertuduhan merogol, dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan maksimum, jika sabit kesalahan.
Sementara bagi pertuduhan amang seksual, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum itu, tertuduh yang mengenakan pakaian lokap berwarna jingga, memberitahu mahkamah dia sudah bertaubat dan meminta hukuman dikurangkan.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebagai jaminan memandangkan kesalahan yang dibuat tertuduh tidak boleh dijamin.
Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 8 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.