HomeBeritaMahkamah & JenayahBapa rogol anak kandung dihukum penjara 72 tahun, 30 sebatan

Bapa rogol anak kandung dihukum penjara 72 tahun, 30 sebatan

MUAR: Seorang lelaki berusia 46 tahun mengaku bersalah atas tiga tuduhan merogol anak kandungnya pada Jun lalu dan awal bulan ini.

Pengakuan itu membuatkan Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman penjara 72 tahun serta 30 sebatan tetapi hukuman penjara diarah berjalan serentak.

“Sebagai ayah, kamu sepatutnya menjadi wira dalam keluarga melindungi anak-anak. Saya sedih mengapa perkara ini boleh berlaku,” kata Abu Bakar seperti dilapor Kosmo hari ini.

Abu Bakar dilihat menitiskan air mata apabila fakta kes bagi tiga tuduhan dibaca.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa merogol anak kandungnya berusia 14 tahun dengan kejadian pertama berlaku pada 22 Jun, pada jam 1.30 pagi.

Dia sekali lagi mengulangi perkara sama pada 26 Jun, pada jam 2 pagi dengan kejadian terakhir dilaporkan berlaku pada 3 Julai lalu, jam 4.30 pagi.

Semua ketiga-tiga kejadian berlaku di tempat sama iaitu sebuah rumah di Batu Pahat.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan sehingga 10 kali bagi setiap pertuduhan.

Selepas mengambil kira pengakuan tertuduh, Abu Bakar kemudian menjatuhkan hukuman penjara 24 tahun dan 10 sebatan masing-masing untuk pertuduhan pertama, kedua dan ketiga.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara serentak tetapi bagi hukuman sebatan, perlu dijalankan secara berasingan.

Bagaimanapun, Seksyen 288 Kanun Tatacara Jenayah menyatakan 24 sebatan adalah jumlah maksimum dibenarkan mengikut kanun berkenaan.

Tertuduh juga diarahkan menjalani hukuman itu bermula dari tarikh ditahan 8 Julai lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum dengan mengambil kira perkembangan terkini kes rogol melibatkan bapa kandung selain mencerminkan kepentingan awam melebihi tertuduh.

Author

Pilihan Editor