HomeGaya HidupBersosial di telefon pintar punca remaja perempuan kemurungan – Kajian

Bersosial di telefon pintar punca remaja perempuan kemurungan – Kajian

REMAJA perempuan lebih terjerumus mengalami kemurungan akibat menghabiskan banyak masa bersosial di telefon pintar, kata pakar psikiatri KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital, Datuk Dr Azhar Md Zain.

Menurutnya, tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017 menunjukkan, enam daripada tujuh remaja sekolah menengah di Malaysia adalah pengguna internet aktif.

Malah, sesetengah penyelidik turut menyifatkan masalah kemurungan berpunca daripada penggunaan telefon pintar khususnya dalam kalangan remaja.

“Kedua-dua lelaki dan wanita muda menghabiskan banyak masa pada telefon pintar mereka.

“Walau bagaimanapun, ia lebih memberi kesan kepada remaja perempuan berbanding lelaki dan salah satu puncanya adalah kerana gadis menghabiskan lebih banyak masa bersosial di telefon pintar mereka.

“Ia termasuk menghantar mesej dan berinteraksi di media sosial,” katanya seperti dilapor mStar.

Jelasnya, kajian sama turut mendapati kanak-kanak perempuan yang menghabiskan enam jam atau lebih di media sosial sangat tidak berpuas hati berbanding mereka yang menghabiskan hanya 30 minit sehari di media sosial.

Tambahnya, kanak-kanak lelaki lebih cenderung menggunakan telefon pintar mereka untuk bermain permainan video.

“Kaitannya sudah ditemui antara penggunaan media digital yang sederhana dan berat dengan peningkatan kadar isu kesihatan mental serta kesejahteraan psikologi lebih teruk dialami remaja perempuan.

“Satu kajian mendapati bahawa kadar kemurungan juga sejajar dengan jumlah masa yang dihabiskan di media sosial,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor