KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor menyaksikan DAP menampilkan 15 calon termasuk enam muka baharu.
Seorang daripada muka baharu itu adalah dengan mempertaruhkan seorang pengamal perubatan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang.
Dr Quarh Perng Fei, 49, yang berkecimpung dalam bidang tersebut sejak tahun 1999 berharap agar beliau boleh menyumbang segala ilmu dan pengetahuannya menerusi pelbagai program kebajikan, khusus untuk golongan B40 dan M40.
“Apatah lagi, ketika ini saya memainkan peranan sebagai Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK).
“Jadi, saya boleh membawa lebih banyak isu berbangkit untuk diselesaikan,“ kata anak jati Klang itu.
Beliau berkata demikian selepas majlis pengumuman calon DAP PRN di sini pada Isnin.
Dalam majlis yang dilancarkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke itu, seramai 15 calon parti tersebut dipertandingkan di Selangor.
Antara pendatang baharu termasuk Yew Jia Haur yang akan bertanding di DUN Teratai, Ong Chun Wei (Balakong), Preakas Sampunathan (Kota Kemuning), Papparaidu Veraman (Banting) dan Lwi Kian Keong (Sungai Pelek).
Pada Ahad, DAP mengumumkan seramai 11 calon yang akan bertanding di Negeri Sembilan.
Parti itu hanya akan bertanding di empat negeri dan akan mengumumkan calon di Pulau Pinang serta Kedah pada Selasa ini.