CYBERJAYA: Setiap kali tiba pilihan raya, sudah pasti akan muncul ahli politik yang akan mengeluarkan kenyataan dengan niat sama ada untuk menarik sokongan rakyat, mahupun menjatuhkan parti lawan.
Ini termasuk Pengerusi Proklamasi Orang Melayu (POM), Tun Dr Mahathir Mohamad yang baru-baru ini mendakwa bahawa, DAP mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berbagai kaum dengan agama rasmi digantikan kepada sekular.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, sekiranya perkara itu berlaku, keahlian Malaysia dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan tergugur.
Malah, beliau turut mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa menurut manifesto DAP supaya parti tersebut tidak menarik diri daripada kerajaan hari ini.
Antara yang mengkritik dakwaan Mahathir adalah penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Dr Muhammad Tawfik Yaakub, yang menganggap perkara itu sebagai politik tidak matang dan boleh membangkitkan kemarahan.
Meskipun Mahathir sudah berada di pentas politik dalam tempoh lama, Tawfik berkata, bekas Perdana Menteri itu masih tetap mengeluarkan modal sama, sebagai senjata untuknya menarik sokongan kaum Melayu.
“Untuk dapatkan sokongan pada PRN akan datang, Tun tolak gelombang Pakatan Harapan (PH) dan tak yakin gabungan PH-BN (Barisan Nasional) ketika memerintah selama tujuh bulan ini.
“Saya anggap tindakan beliau tidak sesuai ketika kerajaan mahu membina Malaysia lebih maju. Bukankah Islam sudah ditetapkan sebagai agama Persekutuan, manakala kaum lain ada perlindungan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Sementara itu, Felo Kursi Institusi Raja-raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis menganggap kenyataan Mahathir dikeluarkan untuk mewujudkan sentimen Melayu dan memberi pulangan kepada Perikatan Nasional (PN).
Tidak bersependapat dengan Mahathir, Mujibu menganggap kenyataan tersebut sebagai tidak benar untuk menjadikan Malaysia sebagai negara sekular.
“Ini bukan mudah kerana melibatkan pelbagai pihak termasuk persetujuan Yang di-Pertuan Agong.
“Beliau menganggap kenyataan itu bakal memberi kelebihan kepada agenda politiknya,” katanya ringkas.
Pada Julai 2019 ketika menjadi Perdana Menteri, Mahathir menegaskan bahawa, penguasaan akademik dunia Islam semakin menurun selepas golongan ulama kuno menolak pengajaran ilmu sekular.
Katanya, penolakan itu menyebabkan dunia Islam mula jatuh dan semakin lemah sehingga akhirnya dijajah oleh negara Barat.
Pada 2014, beliau dilapor berkata, Malaysia hanyalah sebuah negara biasa yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi di negara ini.
Namun katanya, ini tidak bererti Malaysia adalah sebuah negara Islam atau sekular.
Jelasnya, ini juga tidak bermaksud Malaysia boleh dianggap sebagai negara sekular kerana ia tidak disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan.