CYBERJAYA: Jabatan Perlindungan Peribadi (JPDP) merakam keterangan pengasas laman sesawang Misi Rakyat, susulan dakwaan ketirisan data peribadi akibat digodam minggu lalu.
Katanya, pengasas Misi Rakyat, Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi dipanggil ke JPDP pada Khamis.
Insiden penggodaman itu dimuat naik seorang penggodam di BreachForums dan aplikasi Telegram pada 3 dan 4 Julai 2023.
JPDP berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan ketirisan data Misi Rakyat milik Bangsa Bertauhid Sdn Bhd daripada MyCERT, CyberSecurity Malaysia (CSM) pada 4 Julai lalu, sebelum menghubungi syarikat tersebut bagi mendapatkan pengesahan serta sampel data.
“JPDP juga telah mengarahkan syarikat tersebut menjalankan siasatan dalaman dan melengkapkan borang Notifikasi Ketirisan Data (DBN).
“JPDP memulakan siasatan terhadap insiden ini selepas menerima borang DBN daripada Bangsa Bertauhid Sdn Bhd pada 10 Julai,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pihaknya akan bekerjasama dengan CSM menyiasat insiden itu sama ada berlaku pelanggaran Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
Katanya, semua syarikat dan organisasi memproses data peribadi dalam transaksi komersial perlu mematuhi prinsip, peraturan dan standard perlindungan data peribadi di bawah akta sedia ada.
“Syarikat dan organisasi juga diingatkan lebih berhati-hati ketika memproses data peribadi bagi mengelak berlakunya insiden ketirisan data peribadi,” katanya.