CYBERJAYA: Ahli Parlimen Batu Kawan, Chow Kon Yeow dinamakan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk penggal kedua, sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri apabila menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, perkara itu diputuskan Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP menerusi satu mesyuarat pada Selasa.
Diketuai oleh Loke, mesyuarat itu turut dianggotai oleh Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh; Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Miing; dan Naib Pengerusi DAP, Kulasegaran.
“Keputusan ini telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebagai Pengerusi PH, beliau telah merestui keputusan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan.
Pengumuman itu menamatkan spekulasi, Kon Yeow akan digugurkan sebagai ketua menteri.
Dalam mesyuarat sama, Loke berkata, DAP juga memutuskan untuk membuat pembaharuan besar dalam barisan exco kerajaan negeri yang mewakili parti itu, sekiranya menang pada PRN kelak.
Beliau berkata, proses pembaharuan itu adalah satu keperluan untuk memastikan kesinambungan dan kelangsungan kepimpinan DAP di Pulau Pinang yang lebih muda, dinamik dan berupaya untuk menerajui dan memimpin negeri itu ke arah yang lebih maju dalam semua bidang demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, senarai penuh calon yang akan mewakili DAP dalam PRN kali ini akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Calon yang seterusnya pada minggu hadapan.
“Semua calon DAP akan diumumkan selewat-lewatnya seminggu sebelum Hari Penamaan Calon,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, DAP menyandang 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang, diikuti rakan komponen dalam PH, iaitu PKR dengan 14 kerusi dan Parti Amanah Negara (Amanah) dengan dua kerusi, sama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika masih bersama PH.
BN pula menyandang dua kerusi, kedua-duanya melalui UMNO, manakala PAS menang hanya satu kerusi.