HomeBeritaViralDBKL arah peniaga Ayam Kipuk Viral tingkat 15 tutup selepas terima aduan...

DBKL arah peniaga Ayam Kipuk Viral tingkat 15 tutup selepas terima aduan orang awam

CYBERJAYA: Pemilik Ayam Kipuk Viral memaklumkan dia terpaksa menutup sementara perniagaannya selepas orang awam membuat aduan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengusaha Ayam Kipuk Viral, Mawaddah Abu Bakar menerusi Facebooknya berkata, dia reda selepas diarah tutup oleh DBKL dan akan pulang ke kampung bersama ibu dan adiknya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Akhirnya Ayam Kipuk tumbang. DBKL datang cakap ada orang report selepas viral. Tapi mungkin ini Allah mahu mengajar saya erti kesabaran dan ketabahan di atas dosa saya berniaga di rumah. Saya reda.

“Terima kasih abang rider, customer dan jiran-jiran semua yang selalu support kami,” tulisnya

Dalam pada itu, Mawaddah memberitahu dia akan meneruskan perniagaan Ayam Kipuk Viral ke tempat lebih baik iaitu di rumah kedai tingkat tiga.

Mawaddah menjelaskan tujuannya membuat hantaran terbabit bukanlah untuk meraih simpati namun sebagai pemberitahuan kepada pelanggan dan peniaga lain untuk tidak membuat jualan di rumah.

“Tujuan saya post ini sebagai pemberitahuan kenapa saya tutup kepada supporter dan juga rakan-rakan yang jual kat rumah supaya jangan jual kat rumah.

“Kena kumpul modal ratus ribu dulu baru buka kedai. Kalau kedai tak laku, biar orang asing je berniaga. Kita makan gaji, jangan sesekali cuba niaga kecil-kecilan macam saya nanti orang cakap minta simpati,” luahnya.

Terdahulu, tular di media sosial gambar sekumpulan penghantar makanan berkerumun di hadapan rumah seorang peniaga di tingkat 15 di Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur.

Difahamkan, kesemua penghantar makanan itu datang untuk mengambil pesanan makanan pelanggan iaitu Ayam Kipuk Viral.

Author

Pilihan Editor