IPOH: Dua beradik lelaki ditahan dalam serbuan polis di sebuah gudang di kawasan Jelapang disyaki terbabit dalam proses pembuatan dadah pada Rabu.
Dalam serbuan sama kira-kira pukul 3 pagi itu, polis turut menahan empat orang lelaki hasil risikan dan maklumat awam yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Susulan itu, polis merampas 155 gram methamphetamine, heroin seberat 52.3 gram dan 47,580 mililiter cecair disyaki methamphetamine dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM672,649.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kesemua suspek warga tempatan yang ditahan berusia lingkungan 32 hingga 57 tahun.
Katanya, ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.
“Hasil semakan mendapati suspek yang bekerja sebagai pemotong rumput, pengawal keselamatan, penjaga kolam ikan selain pengganggur memiliki rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.
“Kumpulan itu juga didapati aktif melakukan kegiatan memproses dadah sejak awal tahun ini dan dadah tersebut diedarkan untuk pasaran tempatan,” katanya seperti dilapor Utusan hari ini.
Tambah beliau, tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan sitaan sebuah lori dan empat buah motosikal dengan nilai sitaan berjumlah RM76,000.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, bahan kimia yang digunakan untuk aktiviti itu diperoleh dari utara tanah air dan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 180,000 penagih dadah.
“Kesemua suspek direman direman tujuh hari mulai kelmarin hingga Selasa depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” maklumnya.