HomeSukanFIB kenakan sekatan perpindahan pemain kepada Kelantan FC

FIB kenakan sekatan perpindahan pemain kepada Kelantan FC

MALAYSIAN Football League (MFL) hari ini mengeluarkan kenyataan berkenaan badan bebas, First Instance Body (FIB) telah mengenakan sekatan perpindahan pemain kepada  Kelantan FC bagi jendela kedua yang akan dibuka pada 5 Julai 2023.

Perkara ini susulan kegagalan pihak Kelantan FC menghantar bukti bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi bulan April dan Mei 2023. Kelantan FC gagal berbuat demikian sebelum tarikh akhir yang telah ditetapkan oleh MFL iaitu pada 28 Jun 2023 dan 30 Jun 2023.

Ini merupakan hukuman yang berasingan daripada sebarang tindakan yang boleh diambil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ataupun Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkenaan aduan kes-kes lain berkaitan Kelantan FC.

Menurut Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, Jawatankuasa FIB memandang serius mengenai isu berkenaan dan tindakan terpaksa diambil selepas Kelantan FC gagal melunaskan tunggakan dalam tempoh yang diberikan.

Tambahnya, kegagalan Kelantan FC memberikan bukti bayaran tersebut memaksa hukuman sekatan perpindahan pemain pada jendela kedua dijatuhkan dengan serta-merta.

MFL turut menyatakan hukuman ini boleh ditarik semula sekiranya Kelantan FC berjaya menyelesaikan bayaran tunggakan caruman KWSP, gaji pemain dan pegawai sebelum jendela kedua berakhir pada 1 Ogos 2023.
Bagaimanapun tindakan untuk menarik semula sekatan itu juga perlu mengambil kira keputusan FAM dan FIFA berkenaan kes lain melibatkan Kelantan FC.

 

Author

Pilihan Editor