CYBERJAYA: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) hari ini telah membuat pertemuan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung kenyataan fitnah terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Pengerusi G57, Datuk Andie Zulkarnain Baharuddin Mahdar menggesa SKMM menyiasat beberapa ahli Parti Warisan (Warisan) yang didakwa memfitnah Hajiji.
“Kumpulan ini bergerak aktif menabur fitnah yang jahat, jijik dan mencipta naratif mengaibkan ke atas Ketua Menteri Sabah.
“Malah usaha memajukan Sabah juga mereka cuba untuk gagalkan jadi kita berharap supaya SKMM mengambil tindakan menangani perkara ini kerana ia sudah berlarutan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Andie Zulkarnain hadir membuat laporan di SKMM ke atas beberapa pengguna media sosial yang membuat hantaran berbaur fitnah terhadap Hajiji, kira-kira jam 3 petang tadi.
“Saya menggesa polis, SKMM dan Jabatan Peguam Negara segera mendakwa individu yang menyebarkan fitnah, mengaibkan dan menghasut,” ujarnya.
Dalam pada itu, Andi Zulkarnain juga mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga antara yang menjadi mangsa tohmahan dalam talian oleh pihak berkenaan.
Terdahulu, G57 telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Kinabalu pada 27 Jun berhubung kes fitnah kononnya Hajiji berpura-pura menangis.