KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan dan pemantauan susulan tahap kesihatannya yang sedikit merosot.
Perkembangan itu dikongsikan anaknya, Muhammad Khalil menerusi perkongsian di laman Facebooknya pada Sabtu.
“Mohon doa dan solat hajat khusus untuk kesembuhan Ayahanda Tuan Guru (Abdul Hadi). Kesihatan Ayahanda sedikit merosot sebelum Aidiladha dan kini sedang menerima rawatan dan pemantauan lanjut oleh pihak doktor di hospital,” tulisnya.
Menurut Muhammad Khalil yang juga ADUN Batu Buruk, Ahli Parlimen Marang itu menghadiri pelancaran jentera pilihanraya Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu pada Selasa lalu dalam keadaan uzur.
“Semoga ALLAH SWT mengurniakan kesihatan dan kesejahteraan kepada Ayahanda Tuan Guru, berkat doa yang dipanjatkan oleh kita semua,” kongsi Muhammad Khalil.
Perkongsian beliau menerima pelbagai reaksi yang mendoakan kesihatan pemimpin tertinggi PAS itu.
Terdahulu, Hadi Awang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada Jun.
16 Februari lalu, Abdul Hadi dikejarkan ke Hospital Putrajaya setelah mengalami sesak nafas sebelum dirujuk ke IJN.