JERANTUT: ‘Amukan’ harimau belang yang membunuh dan mencederakan haiwan ternakan sejak tiga minggu lalu membuatkan lebih 5,000 penduduk Felda Kota Gelanggi di sini hidup dalam keresahan.
Akibat serangan haiwan liar berkenaan menyebabkan penduduk takut untuk keluar ke ladang bagi menuai atau melakukan kerja-kerja di ladang sawit masing-masing.
Ketua Peneroka Felda Kota Gelanggi 1, Abdul Rahman Ghani berkata, dalam kejadian lebih tiga minggu lalu menyaksikan lebih empat ekor lembu, kambing dan kerbau mati di baham haiwan liar itu.
“Terdapat sepasang harimau belang dan seekor anak yang berkeliaran berdasarkan kesan tapak kaki dari kawasan hutan berhampiran Gua Kota Gelanggi dengan meninggalkan lembu yang cedera dan bangkai haiwan dalam ladang.
“Ibu harimau dipercayai mengajar anaknya cara berburu berdasarkan haiwan yang mati dengan hanya cedera di beberapa bahagian badan sebelum ditinggalkan di dalam ladang.
“Setakat ini belum ada laporan haiwan ganas itu menyerang manusia tetapi penduduk tetap bimbang dengan keselamatan mereka terutama peneroka yang mempunyai ladang berhampiran dengan hutan,” katanya di sini semalam, lapor Kosmo.
Menurut Abdul Rahman, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah memasang perangkap bagi menangkap harimau belang yang berkeliaran di kawasan berkenaan.
Namun katanya setakat ini, tiada laporan diterima harimau berkenaan sudah ditangkap memandangkan kawasan rayau haiwan itu sangat luas hingga ke hutan Taman Negara.