HomeBeritaHukum ‘cash-out’ kredit eBeliaRahmah ke akaun bank

Hukum ‘cash-out’ kredit eBeliaRahmah ke akaun bank

Baru-baru ini, Kerajaan menerusi eBeliaRahmah memberikan kredit RM200 kepada para belia berumur 18 tahun ke 20 tahun, termasuk para pelajar IPT.

Kredit berkenaan diberi bagi meringankan beban para belia, dan pada masa yang sama membolehkan ia digunakan pada kedai-kedai fizikal yang menyokong DuitNow QR.

Kesemua kredit itu diberi menerusi aplikasi e-dompet seperti TNG eWallet, Setel, dan juga Boost.

Bagaimanapun, timbul beberapa isu membabitkan beberapa pihak tidak bertanggungjawab yang menawarkan perkhidmatan mengeluarkan wang berkenaan dalam bentuk tunai atau pemindahan ke akaun bank.

Tindakan itu secara langsung melanggar tujuan dan juga syarat yang ditetapkan oleh kerajaan.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, sekiranya sesuatu pemberian diikat dengan syarat perjanjian, maka ia wajib dipatuhi.

Beliau yang mengulas isu terbabit dalam laman Maktabah Al-Bakri turut menyatakan bahawa haram hukumnya untuk individu yang menerima bantuan tersebut menggunakan wang RM200 berkenaan dengan cara yang dilarang.

Mengulas lanjut, Dr. Zulkifli turut menyatakan “Syeikh al-Qalyubi memberikan peringatan terhadap permasalahan begini, beliau mengatakan bahawa apabila pemberi sumbangan memberi untuk tujuan tertentu, maka penerima tidak dibenarkan untuk menggunakan sumbangan tersebut pada tujuan lain.”.

Disamping itu, syara’ juga melarang orang mu’min daripada perbuatan pecah amanah.

Bagi para penerima eBeliaRahmah, anda dinasihatkan untuk menggunakan kredit yang diterima mengikut syarat yang telah ditetapkan.

Author

Pilihan Editor