HomeBeritaIbu maut, anak selamat motosikal bergesel lori

Ibu maut, anak selamat motosikal bergesel lori

BERA: Seorang wanita berusia 41 tahun maut digilis sebuah lori, manakala anaknya cedera selepas motosikal bergesel dengan sebuah lori di Kilometer 28 Jalan Temerloh-Bahau, kira-kira jam 9 pagi, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bera, Suprintendan Zulkiflee Nazir berkata, kemalangan itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Triang ke bandar Bera.

“Mangsa yang menunggang motosikal itu, Maryaton Othman, 41, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan lengan, manakala anaknya berusia empat tahun yang membonceng motosikal mengalami kecederaan.

“Ketika tiba di tempat kejadian, motosikal Honda Wave yang ditunggang mangsa bergesel dengan bahagian kiri lori itu menyebabkan mangsa terjatuh sebelum digilis tayar lori berkenaan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Zulkiflee berkata, mayat maut dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera dirawat di Hospital Bera.

“Siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan semasa kejadian cuaca baik dan permukaan jalan kering. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Authors

Pilihan Editor