SELURUH negara diselubungi duka setelah terpaksa menerima takdir tentang kehilangan salah seorang pemimpin berjiwa rakyat baru-baru ini.
Ahad lalu, Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah selepas ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu meninggalkan isteri Datin Seri Fatimah Taha dan enam anak.
Pemergian Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu menyebabkan Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang disandangnya kini kosong, manakala Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan tidak lama lagi bagi mencari penggantinya.
Meskipun pernah berdepan dengan episod duka, Allahyarham tidak serik meneruskan perjuangan politik beliau apatah lagi demi kepentingan rakyat.
Sepanjang bersama PAS dari tahun 1983 hingga 2015, Salahuddin membantu partinya memenangi kerusi Parlimen Kubang Kerian pada 2004 dan 2008, serta pernah bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut pada 1999, namun, tewas di kerusi itu.
Kali terakhir beliau mewakili PAS dalam pilihan raya adalah pada 2013 ketika bertanding di DUN Nusajaya dan Parlimen Pulai, namun, tewas di kedua-dua kerusi tersebut.
Beliau kemudian muncul antara individu yang mengasaskan Amanah bagi menggantikan PAS dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) pada 2015, sebelum dilantik sebagai Timbalan Presiden, jawatan yang disandangnya sehingga akhir hayatnya.
Namun, di antara jasa-jasa yang pernah disumbangkan, kenangan paling manis adalah ketika beliau dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Baru sahaja beberapa bulan menerima jawatan itu, Salahuddin sangat menitikberatkan tentang kehidupan rakyat terutama golongan B40.
Januari lalu, Salahuddin memperkenalkan pelbagai program RAHMAH termasuk Payung RAHMAH, Jualan RAHMAH dan Menu RAHMAH berharga RM5.
Menu RAHMAH dilihat mendapat sambutan luar biasa bukan sahaja rakyat, malah rangkaian restoran makanan segera terkemuka turut tampil menyahut seruan kerajaan bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Ketika awal pengenalan Menu RAHMAH, Allahyarham berdepan dengan pelbagai kritikan, termasuk ada yang mendakwa menu tersebut tidak berkualiti selain mengundang penyakit serius.
Namun, Allahyarham tidak goyah dan tidak mudah ‘koyak’ dengan kecaman berkenaan, sebaliknya tampil dengan kenyataan berbeza.
Allahyarham berkata, meskipun Menu RAHMAH dijual dengan harga RM5, ia telah mencetuskan ‘gelombang’ orang ramai berkunjung ke premis berkaitan.
Memberi contoh Pasaraya Besar Mydin, katanya syarikat tersebut menerima kesan berganda daripada pelaksanaan Jualan Rahmah di premis mereka.
“Akhirnya kita dapat satu pendekatan baharu bahawa dengan cara mereka melakukan (jualan) Rahmah ini, mereka gelarkan ‘crowd puller’, maknanya boleh mengambil dan menggamit lebih ramai pelanggan ke pusat perniagaan mereka.
“Mydin sebagai contoh, banyak lot (premis) mereka ada Jualan Rahmah, jadi ‘multiply effect’ (kesan berganda) telah berlaku. Orang datang tak hanya makan menu RM5, tetapi pada masa sama akan membeli barang lain di tempat sama, menyebabkan situasi menang-menang itu berlaku.
“Alhamdulillah dengan Menu Rahmah RM5 sebenarnya adalah sesuatu yang besar maknanya kepada rakyat. Menu Rahmah itu adalah satu hidangan premium,” katanya.
Allahyarham juga pernah berkata, pihaknya tidak mahu menggunakan istilah ‘Menu B40’ kerana mahu hidangan itu dinikmati semua golongan.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Konsep Payung Rahmah akan terus diperkukuh bagi menangani cabaran kos sara hidup.
Anwar berkata inisiatif itu akan menjadi pembakar semangat kepada Kerajaan Perpaduan untuk melakukan yang terbaik demi negara.