HomeBeritaPolitik'Isu air Kelantan pun tak selesai, ada hati nak tawan Selangor?' -...

‘Isu air Kelantan pun tak selesai, ada hati nak tawan Selangor?’ – Shabery Cheek bidas PN

BANGI: Parti Perikatan Nasional (PN) digesa menyelesaikan masalah besar di negeri yang ditawan terlebih dahulu, sebelum bermimpi untuk merebut tiga kawasan lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, perkara itu termasuk isu air di Kelantan yang sekian lama masih belum menemukan jalan keluar.

“Ada parti lain, janganlah bercita-citakan Kelantankan (tawan) negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

“Masalah air pun tak selesai, ada hati kata boleh tawan Selangor lebih hebat (berbanding kerajaan negeri sekarang),” katanya.

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perpaduan Selangor dan Karnival Madani pada Jumaat di Laman Niaga, di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan beberapa barisan kepimpinan BN dan PH.

Sebanyak enam negeri bakal terlibat dalam PRN yang diputuskan pada 12 Ogos ini iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Daripada jumlah itu, PN menerajui tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah selepas memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Sementara itu, tiga negeri selebihnya ditawan kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN.

Author

Pilihan Editor