HomeSukanIsu penyokong KL City dipukul: FAM nafi lambat bertindak

Isu penyokong KL City dipukul: FAM nafi lambat bertindak

 

CYBERJAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membidas kenyataan oleh pemerhati sukan, Sadek Mustaffa dan beberapa pihak lain yang mendakwa pihaknya lambat membuat tindakan berhubung insiden penyokong Kuala Lumpur City dipukul pada final Piala FA
2023 di Stadium Sultan Ibrahim, minggu lalu.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan kes terbabit sudah menjadi kes polis menyebabkan pihaknya tidak lagi boleh mengambil tindakan yang akan mengganggu siasatan polis.

“FAM bukan mengambil sikap untuk berdiam diri berhubung hal ini atau pun lambat untuk membuat sebarang tindakan.

“Laporan polis sudahpun dibuat oleh mangsa pada keesokan harinya selepas insiden berkenaan.

“Walau bagaimanapun, FAM sentiasa bersedia dan terbuka untuk memberi kerjasama kepada pihak polis jika diminta berbuat demikian bagi membantu siasatan kes ini,” kata Yusoff menerusi satu kenyataan, pada Jumaat.

Yusoff turut menegaskan badan induk itu menolak sekeras-kerasnya keganasan bola sepak dan memandang serius dengan insiden yang berlaku itu.

“FAM selaku badan induk bola sepak negara sememangnya menolak keras segala bentuk salah laku yang berkaitan dengan hal keselamatan, kekerasan atau keganasan dalam bola sepak, tidak kira sama ada ia berlaku di dalam padang atau di luar padang yang membabitkan penyokong atau penonton.

“FAM tetap memandang serius dengan apa yang berlaku ini dan akan segera melakukan tindakan proaktif bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam memastikan kejadian sama tidak berulang pada perlawanan lain yang akan datang,” katanya.

Author

Pilihan Editor