Sepang: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sepang, Noorazli Said, 45, tekad mahu menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Jamil Salleh pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) kali ini.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Sepang berkata, BN Selangor tidak tergugat dengan langkah PN mengumumkan nama calon berprofil tinggi daripada Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) kerana calon diketengahkan itu bukanlah daripada kalangan penduduk tempatan.
Katanya, rakyat perlu bijak memilih calon yang bukan hanya datang ketika musim pilihanraya, sebaliknya memilih dalam kalangan wakil rakyat yang dapat membantu menyelesaikan masalah penduduk serta membangunkan kawasan Dengkil.
“Sebagai penduduk tempatan saya ingin menabur bakti kepada penduduk di kawasan Dengkil dan menyeru penduduk membuat pilihan bijak kerana sekiranya tersalah pilih akan mendapat pemimpin yang hanya muncul ketika musim pilihanraya umpama ‘pelancong pilihanraya’ datang setiap lima tahun sekali,” katanya.
Pada 16 Julai lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika berucap pada Majlis Ceramah Perdana Jelajah Selangor Baharu – Kita Bangkit PN Sepang di perkarangan Markas Pas Labohan Dagang, di Sepang mengumumkan Jamil sebagai calon PN PRN15 di Dengkil.
Turut diumumkan Muhyiddin, calon bagi DUN Sungai Pelek, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali yang juga Ketua Bahagian BERSATU Sepang.
Selain itu, Ahad lalu Pakatan Harapan (PH) turut mengumumkan, Borhan Aman Shah sebagai calon N54 Tanjong Sepat untuk mempertahankan kerusi dimenanganinya pada PRU14 manakala DAP pula mengumumkan Lwi Kian Keong sebagai calon DUN Sungai Pelek.
Justeru, Noorazli menyeru pengundi di Dengkil agar memikirkan masa depan dan memilih calon bukan berdasarkan sentimen, khabar angin dan media sosial yang akhirnya merugikan rakyat.
Beliau yang juga usahawan anak kelahiran Tanjung Sepat itu berkata, pada kali ini parti pembangkang yang sama sekali lagi muncul untuk menawarkan janji-janji manis dengan menampilkan calon yang berbeza.
Katanya, rakyat perlu memilih BN kerana sebelum ini terbukti memberi perkhidmatan terbaik dan pada masa sama dapat meneruskan agenda pembangunan dan meningkatkan ekonomi di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang.
“Kita yakin akan dapat menambat hati pengundi dan merampas semula kerusi DUN Dengkil yang menjadi kubu kuat BN sebelum ini dengan menampilkan kempen secara baharu melalui media sosial selain turun padang bertemu pengundi,” ujarnya.
Noorazli berkata, membangunkan dan memajukan Dengkil menjadi keutamaannya kerana kawasan itu adalah sebahagian daripada Cyberjaya bercirikan bandar moden dan bersempadanan dengan Putrajaya.
Katanya, hanya kerajaan yang stabil sahaja dapat membantu memajukan rakyat dan membela nasib generasi muda di masa depan.