HomeBeritaJenazah Wan Noor Hayati selamat dikebumikan

Jenazah Wan Noor Hayati selamat dikebumikan

 

REMBAU: Jenazah arwah Wan Noor Hayati Wan Alias, 44, yang meninggal dunia pada petang semalam dipercayai akibat penyakit radang paru-paru, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bintongan, di sini, pukul 12.10 tengah malam tadi.

Pemenang Anugerah Kajai yang turut dikenali sebagai Wanti menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.10 petang semalam di Hospital Serdang.

Terdahulu, jenazah tiba di pekarangan tanah perkuburan berkenaan dari Hospital Serdang kira-kira pukul 11.48 malam.

Suasana pilu menyelebungi pengebumian Wan Noor Hayati itu yang turut diziarahi oleh ahli keluarga dan saudara mara, rakan-rakan dan penduduk kampung.

Allahyarham yang berasal dari Kelantan pernah berkhidmat sebagai wartawan di Utusan Malaysia, Berita Harian serta Media Variasi malah memenangi Anugerah Kajai iaitu anugerah tertinggi dalam kewartawanan Malaysia pada tahun 2013.

Media sebelum ini melaporkan keadaan Wan Nor Hayati yang uzur akibat penyakit radang paru-paru dan menguruskan kehidupannya bersendirian di rumah sewa di Taman Kajang Utama, Kajang.

Arwah dilaporkan sering berulang alik ke hospital untuk menerima rawatan sebelum dimasukkan semula ke Hospital Serdang dua hari lepas.

Wan Noor Hayati meninggalkan seorang anak lelaki, Abdullah Hakim Ali Azman, 13. – UTUSAN

Author

Pilihan Editor