BANGI: Pengarah Biro Mobilisasi Amanah, Sany Hamzan mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan Perikatan Nasional (PN), kononnya Islam akan terancam apabila DAP menjadi sebahagian daripada kerajaan ketika ini.
Tegasnya, tiada apa yang perlu dibimbangi rakyat tentang kedudukan Islam di negara ini kerana agama itu masih terjamin dan dilindungi di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
“Jika mereka (PN) kata Islam terancam, berapa banyak DAP robohkan masjid? Di Selangor ada Jabatan Agama atau tidak?
“Inilah penipuan yang dilakukan PN, mereka juga kata Raja akan terancam di Selangor dan Melayu akan dipinggirkan,” katanya pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perpaduan Selangor dan Karnival Madani di Laman Niaga, di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam majlis sama berkata Malaysia kini memerlukan kestabilan politik termasuk tiada lagi pertukaran kerajaan.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan bahawa rakyat Malaysia akan selamat di bawah kepimpinan Kerajaan Perpaduan sekali gus masa depan negara kekal terjamin.
Justeru bagi memastikan kesejahteraan negara terjaga, beliau berpandangan bahawa negeri Selangor perlu dikekalkan di bawah pentadbiran sama, apatah lagi sebelum ini sudah terbukti semua agama dan kaum berada dalam keadaan damai di negeri berkenaan.
“Saya cabar parti Islam yang mengaku Islam supaya buktikan masjid mana yang kita robohkan dan Islam mana yang kita hinakan?
“Gereja dan kuil mana yang kita aniayakan?
“Oleh itu, saya minta rakyat Selangor supaya jangan gadai masa depan bersama dan jangan gadai masa depan negeri itu kepada pelampau agama dan kaum,” katanya merujuk kepada PN.