HomeBeritaJom naik ETS! Diskaun 50 peratus sepanjang Julai ini

Jom naik ETS! Diskaun 50 peratus sepanjang Julai ini

CYBERJAYA: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tampil dengan tawaran diskaun sebanyak 50 peratus bagi pembelian tiket perkhidmatan tren elektrik (ETS) sepanjang Julai ini.

KTMB dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, tawaran itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada penumpang yang masih menggunakan perkhidmatannya.

Pada masa sama, promosi yang terbuka khusus kepada warganegara Malaysia itu turut bertujuan memberi peluang penjimatan kepada orang awam serta merancakkan industri pelancongan dalam negara

“Tawaran istimewa tersebut boleh digunakan bagi semua laluan ETS dari Padang Besar sehingga Gemas pada setiap Selasa, Rabu dan Khamis.

“Pengguna boleh membuat pilihan pembelian perjalanan sama ada sehala atau dua hala untuk ke mana-mana destinasi ETS,” maklum KTMB.

Pemberian diskaun melibatkan tarikh-tarikh tertentu khusus bagi tiket kategori dewasa dengan menggunakan kod promo mengikut tarikh iaitu pada 11 Julai (kod promo: TRAVELLOKALJULY11), 12 Julai (TRAVELLOKALJULY12), 13 Julai (TRAVELLOKALJULY13), 18 Julai (TRAVELLOKALJULY18).

Bagi tarikh 19 Julai (kod promo: TRAVELLOKALJULY19), 20 Julai (TRAVELLOKALJULY20), 25 Julai (TRAVELLOKALJULY25), 26 Julai (TRAVELLOKALJULY26) dan 27 Julai (TRAVELLOKALJULY27).

Pada masa sama, KTMB turut menawarkan diskaun tambahan sebanyak RM5 daripada jumlah tambang perjalanan bagi semua perkhidmatan ETS termasuk kelas perniagaan kepada golongan warga emas.

“Ketika ini, KTMB turut menawarkan potongan harga tiket sebanyak 50 peratus daripada harga asal kepada semua golongan warga emas warganegara Malaysia yang telah membuat pendaftaran melalui aplikasi KTMB mobile bagi semua perjalanan menggunakan perkhidmatan KTMB,” maklumnya.

Jelasnya, promosi berkenaan telah bermula sejak 1 Julai lepas dan boleh digunakan sehingga Disember ini.

Warga emas yang telah mendaftar konsesi perlu menggunakan kod promo PRIHATINEMAS semasa membuat pembelian tiket bagi menikmati tawaran istimewa berkenaan yang boleh digunakan bagi semua laluan ETS dari Padang Besar sehingga Gemas pada setiap Selasa sehingga Khamis.

Kod promo boleh dimasukkan di semua medium pembelian tiket di kaunter tiket, kios, laman sesawang KTMB dan aplikasi KITS semasa membuat pembelian, tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan kepada pengguna yang layak.

Maklumat lanjut di laman sesawang www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200.

Author

Pilihan Editor