HomeBerita'Kalau ada labur RM500b, kita bentang karpet merah dari 'airport' sampai hotel'

‘Kalau ada labur RM500b, kita bentang karpet merah dari ‘airport’ sampai hotel’

MALAYSIA bakal mencipta rekod baharu, sekiranya benar dakwaan ada individu yang sanggup melakukan pelaburan sehingga RM500 bilion di Langkawi.

Justeru, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meminta bekas Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya berkongsi maklumat mengenai pelabur tersebut.

“Kalau betul pelabur ini wujud, memang kita akan ‘follow up‘ dan permudahkan kemasukan pelaburan ini.

“Saya tak kisah pelaburan itu siapa yang bawa masuk sama ada Tun M atau kerajaan pembangkang. Sebab kalau pelaburan masuk yang terima manfaat adalah rakyat juga.

“Sedangkan pelabur nak invest (labur) juta-juta (ringgit) pun kita sambut dengan tangan terbuka, inikan pula nak labur RM500 bilion. Memang kita bentang karpet merah dari lapangan terbang sampai ke hotel,” katanya menerusi hantaran video di laman Twitter pada Isnin.

Pada 8 Julai lalu, bekas Perdana Menteri itu mendakwa terdapat individu yang bertemu beliau dan berhasrat melabur di Langkawi sebanyak RM500 bilion, namun tiada menteri yang sudi melayan.

Tambahnya, layanan kerajaan terhadap pelabur yang kurang memuaskan menyebabkan mereka pergi ke Indonesia, Vietnam dan Filipina.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, pelaburan tertinggi dicatatkan di Malaysia setakat ini adalah sebanyak RM309 bilion setahun.

Jelasnya, nilai tersebut adalah jumlah keseluruhan pelaburan yang dihimpunkan daripada pelbagai sumber dan bukan hanya daripada satu pelabur.

“Dan pelaburan ini adalah untuk seluruh Malaysia dan bukan hanya di satu lokasi.

“Sejak Malaysia merdeka sampai sekarang, tak pernah ada pelaburan tinggi sampai RM500 bilion.

“Masa Tun M jadi Perdana Menteri pun tak pernah ada pelaburan diluluskan setinggi itu,” ujarnya.

 

Author

Pilihan Editor