HomeBeritaPolitik'Kamu tahu apa? Hati kamu bukan bersama UMNO', Zahid bidas Annuar Musa...

‘Kamu tahu apa? Hati kamu bukan bersama UMNO’, Zahid bidas Annuar Musa isu haramkan parti

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar kenyataan Tan Sri Annuar Musa, yang menafikan wujud usaha mengharamkan UMNO pada 2018.

Ahmad Zahid berkata, Annuar Musa tidak mengetahui tentang perkara tersebut disebabkan ‘hati’ bekas Setiausaha Agung UMNO pada masa itu tidak lagi bersama UMNO sebaliknya dengan parti lawan.

“Kamu tahu apa, kamu jadi SU (Setiausaha Agung) pun saya yang lantik sebab kalah jawatan Timbalan Presiden (UMNO). Hati kamu lebih ke sana. Bila kita adakan permuafakatan nasional, penyatuan ummah, hati kamu lebih ke sana.

“Jangan bercerita lagi kononnya saya dan kepimpinan utama tak tahu. Kamu seorang tak tahu sebab hati kamu tak sama dengan UMNO walaupun kamu SU UMNO.

“Inilah jenis orang tak kenang jasa. Bila kaduk naik junjung inilah peribadi seseorang itu,” katanya dalam satu sidang media pada Isnin.

Terdahulu, Annuar Musa menafikan wujud usaha mengharamkan UMNO ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri pada 2018, yang mana beliau menjadi Setiausaha Agung UMNO pada masa itu.

Annuar juga mendakwa, Dr Mahathir dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menafikan wujud rancangan mengharamkan UMNO, ketika beliau bertanyakan perkara itu kepada mereka berdua.

Menurut bekas Ahli Parlimen Ketereh itu, Dr Mahathir memberitahu bahawa hal ehwal kerajaan tidak pernah dibincangkan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau mengetuai kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

“Waktu itu saya Setiausaha Agung UMNO. Kalau orang nak haramkan UMNO, tentu Setiausaha Agung tahu… ada surat ke, ada amaran ke, ada apa-apa,” katanya.

Kelmarin, Anwar yang juga Pengerusi PH mendedahkan, Ahmad Zahid menjadi sasaran serangan lawan kerana beliau mengetahui perancangan pembangkang untuk mengharamkan UMNO sebelum ini.

Presiden PKR itu mendakwa, Dr Mahathir dan Muhyiddin merancang mengharamkan UMNO ketika mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, dan strategi pembangkang ketika ini hanya menyerang Ahmad Zahid tanpa mengusik UMNO kerana mahu mendapatkan undi ahli parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Author

Pilihan Editor