HomeBeritaPolitikKeluarga Najib bantu calon Kerajaan Perpaduan, kata Nazifuddin

Keluarga Najib bantu calon Kerajaan Perpaduan, kata Nazifuddin

 

PETALING JAYA: Datuk Mohd Naziffudin Najib menjelaskan sebagai keluarga Datuk Seri Najib Razak, mereka akan membantu calon Kerajaan Perpaduan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 15 ini.

Nazifuddin yang juga Ketua UMNO Langkawi itu berkata, pihak di luar keluarganya tidak benar-benar mewakili apa yang ada dalam fikiran perdana menteri keenam itu yang sedang berdepan hukuman penjara 12 tahun atas tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

“Tetapi sebagai sebuah keluarga, kami membantu calon kerajaan sedia ada dan kami mahu melihat kerajaan (persekutuan) yang stabil untuk meneruskan pentadbiran negeri baharu yang akan ditubuhkan di bawah kerajaan campuran.

“Kami adalah sebahagian daripada kerajaan ini, kebanyakan keluarga saya bersama UMNO dan kami mahu melihat kerajaan ini terus mewujudkan sebuah negara yang stabil dan bergerak ke hadapan untuk memulihkan ekonomi yang positif,” katanya lapor Malaysiakini.

Kenyataan itu menyusul selepas Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz semalam mendakwa semua ahli dan penyokong Najib atau ‘Bossku’ menzahirkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRN.

Dipetik Sinar Harian, gesaan dibuat kerana mereka mendakwa telah hilang kepercayaan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Nazifuddin juga membidas penyokong bekas perdana menteri itu yang mengeksploitasi PRN demi kepentingan sendiri.

Beliau menegaskan pilihan raya di enam negeri dan usaha menegakkan keadilan untuk Najib adalah dua isu yang berbeza.

“Sekarang ini, disebabkan jadual dan acara-acara berkaitan pilihan raya negeri, saya rasa orang mengambil kesempatan daripadanya untuk keuntungan mereka sendiri,” katanya.

Author

Pilihan Editor