MASALAH kemurungan dalam kalangan masyarakat di Malaysia dilaporkan semakin meruncing dari hari ke hari.
Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 10 Oktober 2022, kadar kemurungan dan keresahan di peringkat global telah meningkat lebih daripada 25 peratus bermula pada tahun pertama pandemik COVID-19, iaitu pertambahan kepada hampir satu bilion individu yang telah sedia mengalami masalah kesihatan tersebut.
Tambahnya lagi, masalah kemurungan di Malaysia juga turut menunjukkan trend peningkatan yang agak ketara pada tahun ini iaitu sebanyak 81 peratus bersamaan 1,142 kes berbanding 631 kes yang dilaporkan pada tahun 2021.
Masalah kemurungan ini bertambah serius apabila ia menyebabkan kemerosotan kesihatan fizikal dan sosial individu lalu mengundang kepada risiko tingkah laku untuk membunuh diri.
Namun begitu, tidak semua masyarakat mengetahui dengan lebih terperinci tentang masalah kemurungan ini sehingga boleh membawa kepada tindakan membunuh diri.
Apakah yang dimaksudkan kemurungan?
Ramai masyarakat beranggapan bahawa mereka menghidap kemurungan namun tidak memahami maksud sebenar masalah tersebut sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi negatif terhadap definisi kemurungan menerusi platform media sosial.
Menurut Pensyarah Psikologi Positif Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Intan Hashimah Mohd Hashim, kemurungan memiliki definisi utama iaitu satu bentuk kecelaruan emosi yang melibatkan kesedihan, perasaan negatif dan rasa kehilangan minat kepada semua perkara yang berada di sekeliling.
Katanya, mereka yang didiagnosis kepada kemurungan oleh pakar klinikal kebiasaannya mengalami beberapa simptom dalam tempoh enam bulan sehingga seseorang itu dilihat parah dan tidak dapat berfungsi dengan baik.
Menurut beliau, antara simptom awal kemurungan dapat dilihat menerusi perubahan tingkah laku individu seperti sentiasa kelihatan sedih dan murung, hilang minat terhadap pelbagai perkara dan mula mengasingkan diri dengan keluarga dan juga rakan.
Tambah Dr Intan Hashimah lagi, rasa tidak berdaya, mengalami gangguan tidur dan memiliki sifat pesimistik terhadap masa hadapan juga turut mendorong kepada kemurungan yang agak kritikal.
Jelasnya, kombinasi kepada semua simptom tersebut menyebabkan penghidap akan sentiasa berasa tertekan sehingga mereka beranggapan bahawa masa depannya adalah tidak baik untuk diteruskan.
“Menerusi pengalaman saya sebagai seorang pakar psikologi, ramai daripada mereka tidak memiliki daya tahan yang tinggi dalam meneruskan kehidupan dan mengambil tindakan untuk menghentikan penderitaannya pada waktu itu dengan membunuh diri,” katanya.
Langkah pencegahan kemurungan terhadap perilaku membunuh diri
Akan tetapi, beliau turut menyatakan bahawa, tidak semua pesakit itu akan mengambil tindakan untuk membunuh diri.
Beliau menjelaskan mengetahui cara untuk mengatasi gejala kemurungan para peringkat yang lebih awal boleh membantu seseorang mengatasi masalah itu.
“Antara langkah yang berkesan bagi mencegah kemurungan sehingga mengundang kepada risiko membunuh diri adalah dengan mencari sumber kekuatan pada diri sendiri. Penghidap kemurungan perlu memberi perhatian yang lebih kepada diri sendiri dengan memiliki rehat yang cukup, makan makanan yang berkhasiat, bersenam, dan sebagai,” kata Dr Intan Hashimah yang juga pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan.
Dalam pada itu, bentuk hubungan yang baik antara ahli keluarga dan kawan juga turut membantu dalam mengatasi masalah kemurungan.
“Penghidap juga boleh menghabiskan sedikit masa untuk berinteraksi bersama orang yang mereka rapat seperti keluarga dan kawan supaya mereka tidak memendam perasaan seorang diri,” katanya.
Tambahnya, memiliki spiritual yang baik seperti merapatkan hubungan baik dengan Tuhan juga turut merupakan langkah terbaik untuk mengurangkan kemurungan.
Namun begitu, mendapatkan diagnosis daripada pihak yang lebih pakar seperti psikologi klinikal mahupun pihak kaunseling adalah langkah utama yang sewajarnya penghidap ambil bagi mengetahui punca kemurungan tersebut boleh berlaku.
Kaunseling sebagai pencegahan awal
Menurut Ketua Penolong Pendaftar (Kaunselor Pelajar) USM, Raja Salwati Raja Othman, ramai individu yang memiliki masalah kemurungan takut untuk berjumpa pakar psikologi klinikal, namun lebih selesa untuk berjumpa kaunselor bagi memberi sokongan kepada mereka.
Menerusi pengalamannya, mereka yang menggunakan perkhidmatan kaunseling takut untuk menceritakan masalahnya kepada ibu bapa mahupun rakan-rakan kerana risau akan menimbulkan kebimbangan kepada pihak tersebut.
Disebabkan perkara itu, mereka telah menggunakan perkhidmatan kaunseling sebagai langkah utama bagi membantu membendung gejala tersebut daripada terus berlarutan kerana mereka sedar bahawa keburukannya jika tidak dibanteras serta-merta.
“Kalau dalam tempoh belum didiagnosis sebagai kemurungan oleh ahli klinikal, kami sebagai kaunseling akan memberi pendedahan awal sebagai alternatif program pencegahan supaya keadaan mereka tidak semakin teruk.
“Jika sudah didiagnosis, saya mengharapkan penghidap kemurungan untuk teruskan mendapatkan sesi terapi bersama pakar klinikal dan juga menggunakan perkhidmatan kaunseling sebagai sokongan sampingan untuk membanteras gejala tersebut daripada menjadi lebih parah,” jelas Raja Salwati.
Oleh itu, perkhidmatan kaunseling sangat disediakan di setiap tempat sebagai alternatif sokongan kedua bagi membantu membendung gejala kemurungan daripada terus berlarutan dan cuba membenteras percubaan mereka untuk membunuh diri.
Trauma dibuli punca kemurungan
Menurut Hakimah Hafizah Amali, 23, semenjak menyambung pengajian ijazah sarjana muda di sebuah universiti tempatan, dia sering berasa tertekan dengan keadaan sekeliling dan trauma yang dialami sehingga dia didianogsis sebagai penghidap kemurungan oleh doktor pakar pada 15 Jun 2021.
“Punca utama saya mengalami masalah ini adalah kerana trauma saya yang tidak diubatkan sewaktu kecil di mana saya sering dibuli di sekolah. Perkara ini bertambah rumit apabila saya pernah mengambil tindakan untuk membunuh diri kerana berasa tertekan terhadap dirinya sendiri,” katanya.
Oleh itu, Hakimah terus mendapatkan khidmat kaunseling dan terus dihantar ke pihak klinikal iaitu psikiatri di universiti tempat dia belajar untuk mendapatkan ubat-ubatan dengan dos yang lebih tinggi kerana telah didiagnosis sebagai penghidap kemurungan yang agak kritikal.
“Kepada mereka yang mengalami kemurungan, teruskan percaya pada diri dan lebih memberi perhatian pada diri. InsyaAllah, dengan tindakan sebegini, kita dapat membendung masalah ini daripada terus berlarutan kerana ia mampu memusnahkan masa depan kita sendiri,” kata Hakimah.
Oleh: MUHAMMAD HAIKALRUDEEN AHMAD TAJUDDIN
Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM)