KUALA LUMPUR: Tanggapan bahawa kereta model lama ‘jatuh harga’ jelas meleset apabila ia didapati menjadi buruan utama sindiket dan penjenayah curi kenderaan.
Ini terbukti apabila kenderaan model lama terutama pacuan empat roda Toyota Hilux, kereta Proton Wira, Perodua Kancil dan Perodua Myvi adalah antara lima kenderaan paling tinggi dilaporkan hilang sejak empat tahun lalu.
Malah lebih membimbangkan apabila statistik menunjukkan sebuah kenderaan hilang dicuri di negara ini setiap satu jam 15 minit.
Menurut Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad (VTREC), rekod kenderaan paling banyak dicuri pada tahun lalu adalah pacuan empat roda Toyota Hilux iaitu sebanyak 204 unit, kereta Proton Wira (170 unit ),Perodua Kancil (113 unit ), kereta Perodua Myvi (101 unit ), kereta Proton Iswara (101 unit), kereta Honda City (97), kereta Proton Waja (69), kereta Honda Civic (54), kereta Proton Saga (53) dan pacuan empat roda Ford Ranger (44).
Jurucakap VTREC berkata, meskipun kes kecurian kenderaan secara keseluruhan menurun berbanding 2021, namun kes kecurian trak pikap terutama model Hilux mengalami peningkatan pada 2022.
“Ini berlaku disebabkan permintaan lebih tinggi untuk model popular itu daripada pembeli di pasaran gelap.
“Perkara ini boleh dikaitkan dengan peningkatan penggunaan kenderaan model ini selepas perniagaan dibuka semula ketika era pasca pandemik. Ini menyebabkan kes kecurian pacuan empat roda dan trak pikap semakin meningkat,” katanya.
Selain itu, berdasarkan tuntutan diterima syarikat insuran, kereta lama model Proton Wira kekal sebagai kereta paling banyak dicuri untuk 11 tahun berturut-turut.
“Sebanyak 131 kereta Proton Wira dicuri sepanjang tahun 2021, diikuti oleh model Proton Iswara dengan 75 kecurian dan jumlahnya terus meningkat sehingga kini.
“Malah kereta model Myvi mungkin akan menggantikan kereta Wira sebagai kereta paling banyak dicuri pada masa akan datang.
“Peningkatan kes ini turut dikaitkan dengan teknologi penghidup kenderaan tanpa kunci yang membolehkkan penjenayah menggunakan peranti signal relay untuk menghidupkannya dengan lebih pantas berbanding sebelum ini,” katanya.
VTREC berkata, salah satu punca kenderaan ini menjadi sasaran adalah untuk mendapatkan alat ganti dan dijual semula ke pasaran.
“Ia turut berkait rapat dengan kenaikan harga alat ganti di pasaran yang membuatkan penjenayah mengambil kesempatan. Namun selain faktor permintaan, kecuaian pengguna juga menjadi faktor kenderaan model ini menjadi sasaran dan pilihan utama pencuri,” katanya.
Untuk statistik kecurian motosikal pula, Yamaha LC135 menjadi motosikal paling banyak dicuri dengan purata setiap hari dilaporkan hilang diikuti model Yamaha Y15ZR dengan 286 kecurian dan Honda Wave dengan 196 kes kecurian sepanjang tahun lalu.
Ini diikuti motosikal model Yamaha 125 (177 kes kecurian) dan Honda C100 (136 kes kecurian).
Tidak seperti kereta, kecurian motosikal dilihat lebih kepada model-model yang lebih baru dan ia tidak mengejutkan kerana hampir keseluruhan komponen motorsikal boleh ditanggalkan dengan mudah dan pantas.
Kes kecurian motosikal merupakan antara yang sukar untuk diatasi kerana aktiviti haram itu didalangi pelbagai kumpulan berbeza, jika dilihat melalui media sosial, pasti ada sahaja berita kehilangan motosikal dikongsi setiap hari.
Permintaan alat ganti terpakai tinggi
Aktif mencuri kenderaan semata-mata memenuhi permintaan tinggi individu atau pengusaha bengkel terhadap alat ganti terpakai.
Itu antara rumusan berhubung punca kenderaan model lama antaranya pacuan empat roda Toyota Hilux, kereta Proton Wira dan Perodua Kancil kerap menjadi sasaran penjenayah curi kenderaan.
Penganalisis Automotif Tempatan dan Antarabangsa, Shamsol Yunos berkata, kebanyakan kenderaan yang kerap dilarikan sindiket atau penjenayah curi kenderaan adalah model yang pernah popular dan mendapat permintaan tinggi sedekad lalu.
Beliau berpendapat, kelima-lima model kenderaan itu paling banyak dicuri berikutan mendapat permintaan tinggi terhadap alat ganti di pasaran.
“Mengambil contoh pacuan empat roda Toyota Hilux, meskipun terdapat model generasi baharu namun model lama tetap mendapat permintaan tinggi di pasaran gelap serta sindiket di Asia Tenggara.
“Model kenderaan lama ini boleh dianggap sebagai tahan lasak dan ‘panjang umur’ iaitu mempunyai ketahanan enjin yang baik. Sebagai contoh kereta Proton Wira dan Perodua Kancil masih boleh dilihat digunakan di atas jalan meskipun sudah berusia lebih 20 tahun,” katanya.
Shamsol berkata, jenayah curi kenderaan turut disumbangkan faktor ketiadaan alat ganti dan komponen bagi model lama.
“Semakin lama model kenderaan itu tidak dikeluarkan di pasaran maka semakin kurang alat ganti dan komponen kenderaan itu dijual di pasaran. Akibatnya berlaku kes kecurian bagi mendapatkan bekalan alat ganti,” katanya.
Beliau berkata, bagi kenderaan pacuan empat roda pula, ia kebiasaannya dicuri bagi kegunaan di luar kawasan bandar atau kebun.
Sindiket curi guna trak tunda
Dahulu pencuri kenderaan akan menggunakan modus operandi sama seperti memecah cermin kenderaan, mengumpil pintu dan kemudian memotong wayar penggera bagi melarikan kenderaan.
Namun teknik mencuri kenderaan kini jauh berubah atas faktor bantuan pelbagai gajet dan alatan canggih.
Mantan Pengarah Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia dan kini sebagai Penasihat DIMD Automotif Consultant, Datuk Ir Hj Mohamad Dalib berkata, kes kecurian kenderaan bukan bergantung kepada model lama atau baharu.
“Kini cara paling mudah adalah dengan melarikan kenderaan dicuri menggunakan kenderaan car carrier atau trak tunda.
“Taktik ini menjadikan proses mencuri kenderaan dilakukan dengan lebih pantas. Malah ada juga sistem penggera kenderaan tidak berbunyi ketika ia diangkat naik ke atas car carrier,” katanya.
Beliau mengakui pernah melihat kejadian seumpama itu berlaku apabila sebuah kereta diangkat penjenayah tanpa ada pemilik di lokasi.
“Oleh itu pemilik kenderaan harus berhati-hati ketika meletakkan kenderaan mereka di kawasan parkir tersorok atau tanpa kemudahan kamera litar tersembunyi (CCTV).
“Sasaran utama penjenayah adalah kotak gear dan lain-lain komponen.
“Biasanya kerangka atau casis kenderaan akan dibuang atau ditinggalkan begitu sahaja selepas bahagian dalam kenderaan ditanggalkan,” katanya.
Geng penjenayah sudah bawa lari beribu kenderaan
Kumpulan penjenayah antaranya Geng Sasi Navy, Geng King, Geng William’, Geng Apik Setan, Geng Emy Puchong, Geng Aliff dan Geng Jamal adalah antara dalang yang dikesan aktif melakukan jenayah mencuri kenderaan di negara ini.
Semua mereka dikesan sudah mencuri dan melarikan beribu kenderaan sebelum berjaya ditumpaskan polis melalui operasi Op Lejang Khas di seluruh negara sejak awal tahun ini.
Berdasarkan maklumat operasi dilaksana Bahagian D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, polis setakat ini berjaya menemui dan merampas 847 kenderaan pelbagai jenis bernilai RM19.8 juta dalam tempoh Januari hingga April lalu.
Statistik turut menunjukkan 6,709 kertas siasatan dibuka jabatan itu berkaitan kecurian kenderaan dalam tempoh sama.
Hasil tindakan agresif dilakukan Bahagian D4, sebanyak 1,049 serbuan dilakukan dan seramai 1,225 suspek diberkas.
Dianggarkan nilai rampasan kenderaan curi ditemui itu menjangkau RM19.8 juta. Secara keseluruhan operasi yang dijalankan ini berjaya menyelesaikan 1,658 kes dan daripada jumlah itu 639 kes atau 9.5 peratus kertas siasatan berjaya dituduh
Dalam pada itu, JSJ turut menasihati orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak mempunyai sistem kamera litar tertutup dan lakukan ujian keberkesanan terhadap sistem penggera kenderaan.
“Pencuri tidak akan mencuri kenderaan yang dilengkapi dengan sistem tambahan dan orang ramai juga digalakkan untuk tidak menangguhkan laporan polis sekiranya kenderaan mereka dicuri,” menurutnya.
Mengulas lanjut, polis memaklumkan, terdapat kaedah baharu yang digunakan oleh anggota sindiket mencuri kenderaan untuk menembusi sistem keselamatan kenderaan yang canggih.
“Penjenayah menggunakan gajet khas yang mampu ‘melumpuhkan’ sistem keselamatan kenderaan sedia ada sebelum ia dicuri. Gajet itu juga mampu digunakan untuk membuat kunci pendua.
“Sebelum dijual, sindiket akan meletakkan kenderaan curi di lokasi terpencil sebelum diambil pihak ketiga. Urusan jual beli pula akan diserahkan kepada orang tengah untuk memenuhi permintaan pasaran,” katanya. – Harian Metro