HomeBeritaKKM larang jual air guna bekas akuarium

KKM larang jual air guna bekas akuarium

CYBERJAYA:Kementerian Kesihatan (KKM) melarang penggunaan bekas bukan untuk tujuan makanan seperti akuarium sebagai medium penyimpanan air.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) menyatakan, tindakan sedemikian adalah kesalahan berdasarkan arahan Peraturan 31, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, akuarium berfungsi sebagai bekas memelihara ikan dan bukan sebagai bekas penyimpanan air bagi tujuan jualan.

“Akuarium kebiasaannya diperbuat daripada bahan kaca, acrylic atau plastik dan berkemungkinan mengandungi bahan kimia seperti plumbum selain phthalates yang boleh larut dalam air seterusnya mengakibatkan kesan kepada kesihatan.

“KKM melalui BKKM sentiasa menjalankan pemantauan atas penjualan makanan termasuk penjualan minuman menggunakan bekas bukan untuk tujuan makanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, penjual dan pengguna wajar memandang serius isu keselamatan makanan serta memastikan makanan dijual adalah selamat dan berkualiti untuk semua.

“KKM menasihatkan orang ramai agar membeli makanan di premis makanan yang bersih. Kami juga sentiasa komited memastikan keselamatan dan kualiti makanan terjamin agar kesihatan penguna sentiasa terpelihara.

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan
makanan, mereka boleh menghubungi mana-mana pejabat kesihatan daerah atau jabatan kesihatan negeri terdekat.

“Mereka juga boleh melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor