CYBERJAYA: Laluan KM66.1 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dibuka semula kepada awam selepas insiden tanah mendap Rabu lalu, umum ANIH Berhad hari ini.
Menurut kenyataan akhbar daripada pemegang konsesi lebuh raya tersebut, langkah-langkah komprehensif serta penilaian yang sewajarnya telah dilaksanakan bagi tujuan pemulihan semula.
“Kami dan pelbagai pihak terlibat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Malaysia Rail Link (MRL) telah membuat penilaian segera dengan kelulusan dari Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
“ANIH bersama pihak terlibat bekerjasama dalam memudahkan pembukaan semula lebuh raya dengan segera, memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
Menurut ANIH Berhad, tindakan berselaras semasa usaha pemulihan dijalankan membolehkan masalah mendapan tanah itu diselesaikan dalam masa yang singkat.
“Kami kekal komited untuk mengekalkan standard keselamatan tertinggi dan pemantauan keadaan jalan raya yang berterusan.
“Keselamatan dan kesejahteraan semua pengguna jalan raya sentiasa menjadi perhatian utama kami,” katanya.
Bagi mendapatkan informasi tepat dan terkini, para pengguna disarankan untuk mengikuti saluran rasmi media sosial ANIH Berhad di Facebook (@Lebuhraya Pantai Timur) dan Twitter, (@LPTTrafik) serta Lembaga Lebuhraya Malaysia di Twitter (@llmtrafik) dan Facebook (@Lembaga Lebuhraya Malaysia).
Rabu lalu kejadian mendapan tanah iaitu ‘sinkhole’ dilaporkan berlaku di Kilometer (KM) 66.1 arah Timur dan Barat Bentong, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak.