KUALA LUMPUR: Polis sudah mengesan seorang lelaki yang melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di platform LRT, Stesen Maluri, Cheras, dekat sini pada Jumaat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zin berkata, suspek yang merupakan warga tempatan itu telah dikenal pasti pihaknya.
“Suspek kini menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan akan diberkas selepas ini. Siasatan terperinci berkaitan kejadian masih dijalankan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Kuala Lumpur di sini pada Isnin, lapor Sinar Harian.
Pada 29 Julai lalu, polis memaklumkan pihaknya sedang menyiasat satu kejadian kes cabul terhadap seorang wanita di platform Transit Aliran Ringan (LRT) Stesen Maluri, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, kejadian itu telah tular menerusi satu klip video berdurasi satu minit 10 saat di aplikasi Twitter yang dimuat naik pemilik akaun ‘localrkyt’.
Menurutnya, video itu memaparkan seorang lelaki melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan usaha sedang dijalankan untuk mengenal pasti suspek yang terlibat,” katanya.