HomeBeritaMahkamah & JenayahLelaki lapor polis syak dipukul ketika tonton final Piala FA

Lelaki lapor polis syak dipukul ketika tonton final Piala FA

 

PERLAWANAN akhir Piala FA menyaksikan kemenangan Johor Darul Ta’zim (JDT) membenam Kuala Lumpur City (KL City) 2-0 pada Sabtu.

Namun, keterujaan penyokong Harimau Selatan atas kemenangan itu seolah-olah tidak bertahan lama, apabila ada yang cedera ketika menyaksikan perlawanan yang diadakan di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor.

Hal ini kerana seorang penonton membuat laporan polis selepas cedera hingga patah hidung akibat dipukul ketika perlawanan itu.

Ketua Polis daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, lelaki berusia 30 tahun itu membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Besi di Kuala Lumpur pada pada jam 11.50 pagi Ahad.

“Mangsa mengesyaki dipukul oleh Johor Military Force (JMF).

“Mangsa telah pulang ke Kuala Lumpur dan mendapat rawatan, seterusnya ditahan di wad Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Keadaan mangsa baik dan stabil.

“Doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan patah hidung, pendarahan di kepala dan mata kanan serta lebam seluruh badan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

https://www.tiktok.com/@tekoke01/video/7258677471019633922?_r=1&_t=8eFGAa9zfNa

Beliau berkata, kes itu masih dalam siasatan manakala orang ramai yang menyaksikan kejadian dikehendaki tampil ke bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk membantu siasatan.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 326 kanun keseksaan (cedera parah dengan menggunakan senjata atau benda lain yang berbahaya).

Terdahulu, tular sebuah video memaparkan seorang lelaki ditahan pihak berkuasa keselamatan semasa menyaksikan perlawanan itu.

Difahamkan, penahanan itu dibuat selepas lelaki tersebut melakukan provokasi sejak berada di luar stadium.

Author

Pilihan Editor