HomeBeritaMajlis Perbandaran Klang dinaik taraf sebagai bandar raya

Majlis Perbandaran Klang dinaik taraf sebagai bandar raya

KLANG: Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk meluluskan cadangan naik taraf Majlis Perbandaran Klang (MPK) kepada status bandar raya.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri sekali gus menjadikan MPK sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) keempat berstatus bandar raya di Selangor selepas Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

“Hari ini saya datang untuk satu keputusan penting, pemakluman keputusan Jemaah Menteri berhubung dengan cadangan untuk menaik taraf Majlis Perbandaran Klang kepada Majlis Bandaraya Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Sentuhan Kasih KPKT, di Dewan Hamzah, Majlis Perbandaran Klang hari ini.

Dalam pada itu, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui geran tahunan daripada Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan sebanyak RM5 juta setahun kepada MPK sebagai satu inisiatif untuk membantu membiayai belanja mengurus Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Peruntukan tersebut akan melibatkan 21 projek di seluruh kawasan Klang bagi menaik taraf kemudahan awam sekitar PBT itu yang akan bermula dalam kadar segera dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

“Peruntukan akan melibatkan proses naik taraf kemudahan awam antaranya Pasar Pelabuhan Klang, erai-gerai di kawasan Pelabuhan Klang dan Jalan Goh Hock Huat, laluan pejalan kaki dan basikal di Jambatan Kota Klang,” maklumnya.

 

 

Author

Pilihan Editor