SEREMBAN: Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Fung mendakwa berlaku perbuatan meliwat melibatkan dua mangsa remaja lelaki dengan tertuduh, penceramah selebriti Pencetus Ummah (PU) Azman pada perbicaraan hari keempat kes amang seksual itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Firdaus Wong, 40, sebagai saksi ke-10, berkata demikian ketika diminta penjelasan oleh Hakim Datin Surita Budin mengenai perkataan liwat yang digunakan bagi menggambarkan perbuatan dilakukan mangsa seperti yang diminta oleh PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, 42.
“Main adalah perkataan yang mereka (mangsa) guna. Liwat saya gunakan untuk menggambarkan perbuatan itu kerana ada juga disebut perkataan ‘main belakang’,” katanya pada prosiding perbicaraan kes di sini hari ini.
Firdaus Wong sebelum itu memberitahu, salah seorang mangsa memberitahu PU Azman atau dipanggil Cik Man meminta dia meliwatnya ketika berada di rumah tertuduh di Sendayan, Seremban dalam perjumpaan di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor pada 27 Ogos 2022.
“Selepas mangsa itu memberitahu, seorang lagi mangsa ingat kembali dia kata Uncle saya pun kena (liwat) tetapi masa berjumpa kali pertama dia tidak ceritakan sebab tak ingat.
“Reaksi mereka berdua, geram, takut, kerana takut orang tidak percaya, takut dipandang hina dan masa depan mereka malap,” katanya.
Dalam pada itu ketika ditanya oleh peguam mewakili PU Azman, Norman Mohd. Nasir berapa lama mangsa ‘main’ dengan tertuduh, Firdaus menjawab tidak pasti dan tidak tahu bagaimana posisi badan tertuduh.
Jelas Firdaus lagi, PU Azman yang membahasakan diri sebagai ayah kepada mangsa juga pernah mengetuk pintu bilik air ketika mangsa sedang mandi di rumahnya, yang mana pada mulanya mangsa enggan membuka pintu kemudian dipujuk.
“Takkan dengan ayah pun nak malu, itu bahasa digunakan Cik Man pada mangsa, secara kronologi saya tidak pasti kemudian mangsa keluar bilik air dengan bertuala.
“Mangsa beritahu Cik Man minta dan memujuk untuk ‘main’,” katanya.
Firdaus Wong yang terlibat dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Multiracial Reverted Muslim (MRM), mangsa memberitahu perbuatan tidak bermoral itu dilakukan PU Azman di inap desa miliknya di Klang, Selangor dan rumahnya di Sendayan, Seremban, namun tidak pasti sejak bila.
Dalam keteranganya di mahkamah, Firdaus Wong turut memberitahu, beliau tidak pernah memaksa mangsa membuat laporan polis sebaliknya bertindak sebagai pemudah cara kerana memahami trauma yang dihadapi mangsa serta keluarga.
“Saya lebih kepada menenangkan mereka yang terlibat kerana hampir kesemua kes yang kami kendalikan terutama melibatkan orang berkedudukan, terkenal hatta tidak terkenal mangsa mengalami trauma dan ‘anxiety’ (kemurungan).
“Saya berikan kefahaman bahawa mereka tidak akan disaman kerana itu kebimbangan utama mangsa,” katanya.
Prosiding perbicaraan pada sebelah petang diteruskan secara tertutup dengan beberapa mangsa dipanggil memberi keterangan. – KOSMO! ONLINE