HomeSukan'May the best man or woman win', penganalisis ulas saingan rebut TRW

‘May the best man or woman win’, penganalisis ulas saingan rebut TRW

CYBERJAYA: Teka-teki mengenai pemilik baharu Kelantan FC atau The Red Warriors (TRW) belum terjawab, apabila pemiliknya, Norizam Tukiman masih tidak memutuskan untuk melepaskannya kepada mana-mana individu.

Hal ini kerana Norizam atau lebih dikenali Zamsaham perlu membuat penelitian terbaik terhadap tawaran diberi dua usahawan, Datuk Seri Hasmiza Othman dan Erfan Lee Ruslan.

Terdahulu, Erfan Lee atau dikenali Erfan Akif yang merupakan usahawan perlombongan emas dilapor menawarkan RM10 juta kepada Zamsaham.

Tidak lama selepas itu, Erfan mengumumkan bahawa satu perjanjian kerahsiaan (NDA) antara beliau dengan Zamsaham sudah dimeterai.

Sementara itu, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Vida tekad untuk tidak mengalah dan menegaskan akan terus bersaing untuk memiliki pasukan tersebut.

Jelasnya, beliau juga sudah mengadakan perbincangan dengan Zamsaham, namun tidak dapat mendedahkan hasil rundingan.

Vida pernah menjadi penasihat dan penaja TRW dari 2016 hingga 2017 dengan nilai tajaan hampir RM20 juta.

 

Pekan Ramli

Tampil mengulas mengenai persaingan itu, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan situasi itu sebagai sesuatu yang sihat dan perebutan TRW akan menjadi lebih menarik.

Penganalisis sukan itu juga tidak menolak kemungkinan harga atau ‘bidding‘ untuk memiliki pasukan itu akan meningkat, manakala Zamsaham boleh meletakkan harga lebih tinggi kepada pembida.

“Persoalannya mudah, siapa sanggup bayar lebih maka dialah berpeluang untuk ambil alih TRW.

May the best man or woman win,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

 

Kesebelasan utama TRW ketika menentang Terengganu FC pada Mei lalu. – Foto: FB TRW Kelantan FC

Mengulas lanjut, Pekan menganggap Vida bersungguh-sungguh untuk mengambilalih TRW dan bukan sekadar omong kosong atau gimik.

Justeru, dia berharap agar usahawan itu lebih serius untuk membanggakan penyokong Kelantan pada masa akan datang menerusi pencapaian pasukan lebih baik.

Pekan juga tidak menolak kemungkinan bahawa, penyokong Kelantan mempunyai keyakinan lebih tinggi terhadap Vida berbanding Erfan Akif disebabkan pengalamannya sebelum ini.

“Tapi, kalau susah sangat saya cadangkan Vida dan Erfan Akif bergabung untuk ambil alih TRW. Selain boleh berkongsi risiko, mereka juga boleh memperluaskan jenama perniagaan bersama dan gunakan kepakaran masing-masing.

“Saya percaya kedua-dua figura ini boleh membanggakan dan mengangkat kembali martabat bola sepak Kelantan,” jelasnya.

Author

Pilihan Editor