BAHANG Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin terasa! Pasti ramai yang impikan calon berwibawa yang telus dalam menterjemahkan bakti mereka di peringkat negeri.
Berasal dari Pekan Sungai Nibong, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin yang juga seorang peguambela dan peguamcara sangat aktif dalam melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat serta cemerlang dalam penglibatan bersama NGO.
Berpegang kepada prinsip khidmat masyarakat dan fokus politik anak muda, Imran boleh dikategorikan sebagai individu yang berkaliber untuk terus menjadi calon pada PRN kali ini bagi memimpin rakyat khususnya di DUN Sungai Panjang.
“Saya hendak melihat ke hadapan ini, khususnya dalam kalangan anak muda dan generasi baharu supaya melihat politik ini adalah satu perkara yang positif. Kita tidak mahu ahli-ahli politik ini dilemparkan dengan perkara-perkara negatif dan persepsi yang tidak baik.
“Kita berkhidmat kepada masyarakat, bukan sahaja masyarakat tetapi untuk kita membina negeri dan juga negara bercakap tentang dasar, soal polisi dan juga melihat sesuatu dengan secara lebih progresif dan juga menggalas tugas dengan penuh tanggungjawab, amanah dan juga telus dalam setiap apa yang kita lakukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Untuk rekod, semasa pertama kali dicalonkan di DUN Sungai Panjang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Imran berjaya menewaskan calon lain dengan mendapat 10,530 manakala penentang memperoleh 8,446. Kemenangan itu dengan majoriti undi adalah sebanyak 2,084.
Dalam aspek politik, Imran memegang jawatan Exco Pemuda Barisan Nasional (BN), Pengerusi Sekretariat Profesional Muda Pemuda UMNO Selangor dan kini Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar.