BANGI: Negeri Selangor di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan akan tetap dipertahankan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadual pada 12 Ogos ini, tegas Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor itu berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan terpedaya dengan sentimen dimainkan Tan Sri Noh Omar, yang dilihat cuba mengalih undi UMNO kepada Perikatan Nasional (PN).
“Biar saya jelaskan satu persatu apa yang Noh Omar cakap. Dia kata BN Selangor gagal, BN Selangor akan jadi penunggang dan penumpang.
“Sebenarnya yang gagal bukan zaman saya memimpin tapi zaman dia memimpin BN di Selangor,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perpaduan Selangor dan Karnival Madani pada Jumaat di Laman Niaga, dekat Bandar Baru Bangi, di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, dan beberapa barisan kepimpinan BN dan PH.
Terdahulu, Noh yang juga bekas Pengerusi Perhubungan Umno Selangor berkata, parti terbesar orang Melayu itu sudah mula hilang bisa dan kini hanya gah pada nama.
Menurut beliau, ia susulan kepimpinan parti itu yang tidak lagi berpegang kepada perjuangan dan perlembagaan UMNO yang asal.
Pada masa sama, bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang itu mengesahkan bahawa beliau akan bertanding pada PRN negeri akan datang atas tiket PN.
Mengulas lanjut, Megat berkata bahawa dia turut bersaing dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika bertanding merebut kawasan Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Dedahnya, dia pernah memberitahu Amirudin supaya reda sekiranya salah seorang daripada menang atau kalah pada PRU15.
“Yang penting di depan (individu lompat parti) kita mesti kalahkan. Dalam perjuangan, istilah pengkhianat tiada tempat buat mereka.
“Pengkhianat inilah yang pernah menghancurkan negara kita. Kepada pengkhianat PH dan pengkhianat BN yang pernah hidup mewah daripada BN tunggulah masanya. Gelanggang PRN telah dibuka.
“Presiden UMNO telah menyatakan dalam PAU (Perhimpunan Agung Umno) bahawa Kerajaan Perpaduan penting buat negara dan mesti berada dalam keadaan stabil. Jangan kita pernah benarkan mereka (pengkhianat) menghancurkan negara ini,” tambahnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi enam PRN.
Enam negeri itu ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai manakala bagi pengundian awal, tarikh ditetapkan ialah pada 8 Ogos.