HomeGlobalPelajar dakwa temui kondom dalam makanan

Pelajar dakwa temui kondom dalam makanan

BEIJING: Seorang pelajar sebuah sekolah vokasional di Guangzhou, China terkejut apabila menemui objek plastik seakan kondom ketika makan di kafeteria sekolah, lapor laman berita Mothership semalam.

Dalam satu klip video dimuat naik di aplikasi Weibo, pelajar itu didengari berkata bahawa dia sedang menikmati hidangan itik panggang apabila melihat objek itu dalam makanan.

Dalam klip video berasingan, seorang lagi pelajar didengari bertanya ‘apa ini’ sebelum dia dan rakannya mengesyaki objek tersebut adalah kondom.

Pelajar bernama Li itu berkata, pihak sekolah telah menyewa sekolah vokasional itu untuk menganjurkan latihan selama 18 hari. Pada hari keenam iaitu Isnin lalu, mereka menemui kondom dalam makanan.

Tidak lama selepas itu, sekolah vokasional Guangzhou mengeluarkan kenyataan bahawa semua kakitangan dapur dipertanggungjawabkan dan dihukum menerusi potongan gaji. Cef yang terlibat dalam kes itu juga akan dibuang kerja.

Pasukan khas turut ditubuhkan untuk menjalankan siasatan dalaman seperti mengesan sumber bahan mentah, risiko kesilapan dalam operasi serta menyemak operasi kantin.

Pihak sekolah kemudian dilaporkan memberitahu bahawa objek yang tidak diketahui itu adalah ‘membran bola mata itik’.

Dalam kemas kini pada semalam, jabatan berkaitan telah campur tangan dalam kes itu sementara keputusan ujian belum dikeluarkan.

Menurut Biro Pengawasan dan Pentadbiran Pasaran Guangzhou semalam, kantin terbabit telah diarah tutup, manakala keadaan kesihatan pelajar dipantau dengan teliti. – KOSMO

Authors

Pilihan Editor